Upacara terakhir diadakan untuk Bijuli Prasad. - FOTO Agensi
Upacara terakhir diadakan untuk Bijuli Prasad. - FOTO Agensi
AFP

Guwahati, India: Salah satu gajah tertua di dunia disahkan mati di ladang teh India pada usia dianggarkan 89 tahun, kata penjaganya.

Walaupun tidak dapat mengesahkan umur sebenar gajah itu, berdasarkan maklumat, ia dibawa bekerja di ladang teh oleh seorang petani British ketika pemerintahan kolonial pada 1940-an.

Penjaganya berkata, ia berumur kira-kira 89 tahun.

Digelar "Bijuli Prasad", gajah itu diambil dari hutan dan bekerja di ladang teh di negeri timur India di daerah Sonitpur di Assam sehingga 2018.

"Gajah domestik hidup sehingga 80 tahun, dengan syarat mereka dijaga dengan baik," kata doktor haiwan Kushal Konwar Sarma, yang menjaga Bijuli Prasad pada usia lanjutnya.

"Semua gigi gajah itu sudah dicabut kerana usia dan ia tidak boleh makan," kata Sarma. "Saya menukar diet dan meminta penjaga memberinya makanan rebus - kebanyakannya nasi dan kacang soya dengan nilai protein tinggi."

Terkenal dengan kekuatannya, Bijuli Prasad pernah "mencabut semak teh lama dan membersihkan kawasan hutan dengan mudah", dan pernah melawan penyerang yang cuba merampas gadingnya yang panjang, lapor The Times of India.

Ia telah bersara di Ladang Teh Behali di Assam, di mana ia mati pada Isnin.

Berbalut bunga, Bijuli Prasad diberikan upacara pengebumian dengan ritual Hindu yang dijalankan oleh seorang sami dan dikebumikan.

Timbalan pengurus Behali Ujjal Basnet memberitahu Times of India bahawa gajah itu telah menjadi "kebanggaan" syarikat itu.

"Ia adalah kematian yang mengejut tetapi aman," kata Basnet.

Secara amnya, gajah Asia biasanya hidup sehingga usia pertengahan 50-an, walaupun data tepat adalah terhad, menurut Institut Biologi Pemuliharaan Smithsonian yang berpangkalan di AS.

Gajah tertua yang diketahui meninggal dunia pada usia 86 tahun di Zoo Taipei pada 2003, menurut Rekod Dunia Guinness.

Dipanggil "Lin Wang" atau "Atuk Lin", gajah Asia itu membawa bekalan melalui Burma ketika itu untuk pasukan Jepun dalam Perang Dunia II.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 5:51 PM