FOTO menunjukkan lori 18 roda membawa 100 pengakap
FOTO menunjukkan lori 18 roda membawa 100 pengakap
Agensi

Bangkok: Sebuah sekolah di wilayah Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand, mendapat kecaman kerana didakwa membiarkan lebih 100 murid juga pengakap lelaki terpaksa berhimpit di dalam lori.

Portal Thaiger melaporkan, murid terbabit dipercayai menaiki lori berkenaan ketika menyertai rombongan dianjurkan sekolah.

Ia mendapat perhatian dan mengundang kebimbangan netizen selepas video menunjukkan lori 18 tayar yang membawa kanak-kanak memakai pakaian seragam pengakap tersebar di media sosial.

Semalam, Pengarah Sekolah Wat Lam Nao, Sommai Sudthanom, mengesahkan klip itu adalah benar dan memaklumkan beliau yang mengarahkan pengakap itu menaiki lori berkenaan.

Menurut Sommai, lebih 100 pengakap lelaki dibawa dari sekolah di daerah Bang Khen di wilayah Nakhon Si Thammarat ke Kem Pengakap Chaloem Phrakiat di daerah Huai Yot wilayah Trang bagi mengikuti aktiviti perkhemahan selama empat hari tiga malam.

Sommai memberi tiga sebab menyebabkan murid dibawa menaiki lori iaitu sekolah tidak mempunyai wang untuk menyewa bas, tetapi pengakap perlu pergi berkhemah.

"Jadi, saya memutuskan mereka menaiki lori 18 tayar yang saya beli sendiri untuk mengangkut minyak sawit.

"Tapak perkhemahan hanya 26 kilometer (km) dari sekolah dan pelajar menaiki kenderaan besar serta ia mungkin lebih selamat daripada trak pikap.

"Guru mengajar kanak-kanak cara menaiki dan turun lori dengan selamat menggunakan tangga.

"Pengalaman itu memberi peluang kepada kanak-kanak untuk bersabar dan menyokong antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, Ibu bapa dan penjaga mengadu bahawa mereka bimbang dengan keselamatan 100 kanak-kanak itu apabila kenderaan membelok selekoh atau sekiranya berlaku kemalangan.

Dakwa mereka, lori berkenaan juga tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 11:30 AM