Penduduk di wilayah Nakhon Sawan mengarak patung kucing Doraemon untuk memanggil hujan. FOTO AFP
Penduduk di wilayah Nakhon Sawan mengarak patung kucing Doraemon untuk memanggil hujan. FOTO AFP
AFP

Bangkok: Ketika jutaan penduduk di seluruh Asia Tenggara mengalami gelombang haba ekstrem, sebuah perkampungan di Thailand menggunakan kaedah luar biasa untuk memanggil hujan dengan mengarak seekor kucing watak kartun Jepun.

Di wilayah Nakhon Sawan tengah kerajaan itu yang tidak hujan selama berbulan-bulan menyaksikan, penduduk kampung di Phayuha Khiri berarak membawa kucing Jepun, Doraemon untuk menamatkan kemarau.

Penduduk berpakaian gemerlapan membawa sangkar berhias yang mengandungi boneka itu melalui perkampungan manakala orang ramai menyimbahnya dengan air.

Upacara itu menuruti upacara musim kemarau lama dikenali sebagai Hae Nang Meaw, perarakan seekor kucing betina.

Keengganan kucing dengan air menyebabkan ada yang mengaitkan haiwan itu dengan hujan, dengan bunyi mengiau marah haiwan itu selepas basah kuyup dipercayai boleh memanggil hujan.

Kebanyakan penduduk kampung tidak lagi menggunakan kucing sebenar, sebaliknya mengangkat anak patung Doraemon atau Hello Kitty.

Ketika Doraemon diarak di kawasan tengah Thailand pada Selasa, landasan kereta api di wilayah Nakhon Si Thammarat di selatan melengkung akibat haba membakar.

Pekerja kereta api menyiram rel dengan air untuk cuba membengkokkannya semula selepas suhu mencecah 41 darjah Celsius.

The State Railway of Thailand berkata, panas ekstrem menyebabkan landasan antara Ron Phibun dan Khao Chum Thong melengkung pada 30 April lalu.

"Pegawai membawa air dan ais untuk menyejukkan rel.

"Landasan boleh digunakan semula selepas disiram selama sejam," kata kenyataan itu.

Timbalan gabenor kereta api negeri Jaray Rungthani berkata, jurutera akan memantau dengan teliti dalam beberapa hari akan datang kerana suhu masih tinggi.

"Semua pengurus stesen kereta api akan membantu penumpang dan bersedia menangani situasi gelombang haba berdasarkan ramalan," katanya.

Thailand semakin panas dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila suhu meningkat di seluruh rantau ini, dengan pakar menjangkakan perubahan iklim menjadikan gelombang haba lebih kerap, lebih lama dan lebih kuat.

Bahang yang mencengkam sebahagian besar wilayah itu dari Bangladesh hingga Filipina menyebabkan grid tenaga tegang dan memaksa jutaan kanak-kanak terpaksa duduk di rumah apabila sekolah ditutup.

Walaupun fenomena El Nino membantu memacu cuaca panas luar biasa tahun ini, Asia juga mengalami pemanasan lebih cepat daripada purata global, menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 12:26 PM