GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Canberra: Walaupun kehidupan sudah hampir kembali ke keadaan normal selepas dua tahun dalam pandemik, subvarian baharu Covid-19 XBB.1.5 mengancam kemajuan itu.

Strain baharu dikenali sebagai Kraken dipercayai lebih mudah berjangkit dan mampu mengelak daripada perlindungan vaksin dan jangkitan lama, lapor agensi berita news.com.au.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melabelkan strain itu sebagai 'subvarian paling mudah berjangkit yang pernah dikesan', dengan XBB.1.5 menjadi punca sebahagian besar jangkitan di Amerika Syarikat (AS).

Ia turut dikesan di Australia, United Kingdom (UK) dan beberapa negara Eropah lain seperti Denmark, Perancis, Jerman dan Sepanyol. Subvarian itu belum ditemui di New Zealand.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, lebih 40 peratus jangkitan di negara itu adalah berpunca daripada XBB.1.5.

Khamis lalu, Jabatan Kesihatan New South Wales (NSW) turut mengesahkan sejumlah kecil strain baharu itu sudah dikesan di seluruh Australia.

"Masih terdapat sejumlah besar kumpulan campuran subvarian menular, dan subvarian BR.2 adalah yang paling banyak dikesan.

"Jabatan itu juga terus memantau kemunculan subvarian termasuk XBB.1.5, yang dikesan dalam jumlah kecil dalam tempoh dua minggu sebelum 24 Disember 2022," kata kenyataan Jabatan Kesihatan NSW.

Di UK, Agensi Keselamatan Kesihatan menasihatkan penduduk yang bergejala demam dan flu untuk kekal di rumah atau memakai pelitup muka, ketika Sistem Kesihatan Nasional (NSH) negara itu bergelut menguruskan kes Covid-19 dan flu.

Situasi itu berlaku selepas semua langkah sekatan Covid-19 di seluruh UK ditamatkan oleh bekas Perdana Menteri British, Boris Johnson pada Februari tahun lalu.

Setiausaha Kesihatan UK, Humza Yousaf, turut memberi amaran bahawa NHS berisiko berdepan dua minggu yang amat mencabar selepas dua virus itu tersebar dalam komuniti.

Bercakap kepada BBC Scotland, beliau menyifatkan musim sejuk ketika ini bakal menjadi tempoh yang paling mencabar dalam sejarah penubuhan NHS sejak 74 tahun lalu.

"Ini kerana bukan saja berdepan peningkatan kes Covid-19, tapi jangkitan lain yang kembali dengan ancaman yang tak pernah dilihat sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 4:08 PM