PENGGUNA komuter ketika waktu puncak pada sebelah pagi di Beijing, China. FOTO Reuters
PENGGUNA komuter ketika waktu puncak pada sebelah pagi di Beijing, China. FOTO Reuters
Agensi

Beijing: Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) China yang mengeluarkan angka kes harian Covid-19 negara itu, sejak tiga tahun lalu tidak akan berkongsi lagi data itu mulai Ahad.

"Maklumat Covid yang berkaitan akan dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China untuk rujukan dan penyelidikan," kata NHC dalam satu kenyataan.

NHC bagaimanapun tidak menyatakan sebab perubahan atau kekerapan CDC China akan mengemas kini maklumat Covid-19.

China melaporkan tiada kematian baharu Covid-19 di tanah besar untuk 24 Disember, sama seperti sifar sehari sebelumnya, kata CDC China pada Ahad.

Negara itu tidak lagi mengamalkan dasar sifar Covid-19. Ia dilaksanakan dengan menghapuskan pelaksanaan sekatan mengejut, kuarantin yang panjang dan sekatan perjalanan dalam strategi pemulihannya.

Pengumuman NHC untuk melaporkan jumlah jangkitan harian dan kematian berlaku apabila kebimbangan semakin meningkat mengenai kekurangan maklumat penting mengenai usaha China memerangi Covid-19.

Walaupun terdapat rekod peningkatan jangkitan, NHC melaporkan tiada kematian Covid-19 di seluruh negara selama empat hari berturut-turut sebelum menghentikan pengeluaran data.

China mengecilkan takrifnya untuk melaporkan kematian Covid-19, hanya mengira bilangan yang maut akibat radang paru-paru atau kegagalan pernafasan akibat wabak, dan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan pakar kesihatan dunia.

Firma data kesihatan yang berpangkalan di Britain, Airfinity minggu lalu menganggarkan China mengalami lebih daripada sejuta jangkitan dan 5,000 kematian sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 1:34 PM