VIRUS Covid-19. FOTO Ihsan FB Dr Noor Hisham Abdullah.
VIRUS Covid-19. FOTO Ihsan FB Dr Noor Hisham Abdullah.
AFP

Beijing: China merekodkan hampir 13,000 kematian berkaitan Covid-19 di hospital antara 13 dan 19 Januari, selepas seorang pegawai kesihatan tertinggi memaklumkan sebahagian besar penduduk negara itu sudah dijangkiti virus berkenaan.

Seminggu sebelum itu, China memaklumkan, hampir 60,000 meninggal dunia akibat Covid-19 di hospital setakat 12 Januari, bagaimanapun terdapat keraguan yang meluas terhadap data rasmi sejak Beijing secara tiba-tiba membatalkan kawalan anti-virus bulan lalu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China dalam satu kenyataan pada hari Sabtu berkata, seramai 681 pesakit yang dimasukkan ke hospital meninggal dunia akibat kegagalan pernafasan yang disebabkan oleh jangkitan coronavirus.

Sementara, seramai 11,977 lagi meninggal dunia akibat penyakit lain yang digabungkan dengan jangkitan sepanjang tempoh berkenaan.

Jumlah itu tidak termasuk kematian akibat Covid-19 di rumah.

Airfinity, firma ramalan bebas, menganggarkan kematian Covid-19 setiap hari di China akan memuncak sekitar 36,000 sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Firma itu juga menganggarkan lebih 600,000 orang sudah meninggal dunia akibat penyakit itu sejak China menamatkan dasar sifar Covid-19 pada Disember.

Puluhan juta orang sudah mengembara ke seluruh negara sejak kebelakangan ini untuk bertemu semula dengan keluarga terutama pada perayaan Tahun Baharu Cina, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap penularan wabak baru.

Bagaimanapun, pegawai kesihatan tertinggi berkata, gelombang kedua tidak akan berlaku di China dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas jutaan penduduk kembali ke kampung untuk menyambut perayaan kerana hampir 80 peratus populasi sudah dijangkiti Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 4:28 PM