ANTARA kenderaan polis yang dibakar ketika rusuhan berkenaan. FOTO AP
ANTARA kenderaan polis yang dibakar ketika rusuhan berkenaan. FOTO AP
Agensi

Jakarta: Seorang saksi berkata, dia melihat banyak orang dipijak-pijak apabila polis melepaskan gas pemedih mata susulan kekecohan selepas perlawanan bola sepak antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, pada malam Sabtu.

Menceritakan detik itu, Dwi berkata, banyak orang yang dilihat terjatuh selepas gas pemedih mata dilepaskan dan ramai penyokong yang sesak nafas.

"Selain itu, saya melihat banyak orang yang dipijak-pijak, ketika penyokong melarikan diri selepas gas pemedih mata (dilepaskan)," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jawa Timur Nico Afinta berkata, daripada 42,288 penyokong yang memenuhi stadium, tidak semuanya meluru ke padang.

"Hanya sebahagian yang turun ke padang. Kira-kira 3, 000 penyokong," katanya.

Beliau menegaskan, tindakan polis adalah mengikut prosedur ditetapkan.

"Sekiranya penyokong mengikut peraturan, peristiwa ini tidak akan terjadi. Semoga tidak terjadi lagi peristiwa seperti ini," katanya.

Beliau turut mengesahkan dua anggota polis antara 127 mangsa yang maut.

"34 mangsa meninggal dunia di stadium dan selebihnya iaitu 93 meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital," katanya.

Selain itu katanya, 180 penyokong lain dirawat di hospital, manakala 13 kenderaan rosak akibat insiden berkenaan termasuk 10 kenderaan polis dan tiga kenderaan milik orang awam.

Terdahulu, media tempatan Indonesia melaporkan, penyokong perlawanan antara Arema FC dan Persebaya Surabaya dikepung polis pencegah rusuhan.

Selepas pergaduhan tercetus, polis melepaskan gas pemedih mata.

Gas pemedih mata menyukarkan penyokong bernafas dalam suasana kelam-kabut menyebabkan mereka terpijak dan terhimpit sesama sendiri.

Penyokong Arema yang berang setelah pasukan mereka tewas 3-2 dalam pertembungan 'derby Jawa Timur' di Stadium Kanjuruhan, Malang, memasuki kawasan padang untuk bertemu pemain dan pegawai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 9:05 AM