SEORANG penyokong yang pengsan dibawa keluar stadium. FOTO AFP
SEORANG penyokong yang pengsan dibawa keluar stadium. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersimpati terhadap tragedi rusuhan membabitkan perlawanan Liga 1 Indonesia di antara Arema FC menentang Persebaya, semalam..

Kejadian di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia itu mengorbankan 129 orang, sekali gus menjadikan tragedi kedua terburuk dalam sejarah bola sepak dunia.

Menerusi kenyataan di laman sosial FAM, badan induk bola sepak negara itu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terkorban itu.

"FAM mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi rusuhan penonton selepas perlawanan Liga 1 Indonesia di antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia, malam tadi," katanya.

Sementara itu, kelab Liga Malaysia turut menyampaikan ucapan takziah dan simpati mereka terhadap kejadian di negara jiran itu.

Juara sembilan kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) turut berdoa terhadap mangsa yang terkorban dalam kejadian 'berdarah' terbabit.

"Kami bersimpati terhadap keluarga dan mangsa yang terkorban pada perlawanan bola sepak terbabit.

"Doa kami sentiasa bersama mangsa dan tiada tempat dalam bola sepak membabitkan insiden terbabit apabila menyebabkan kehilangan nyawa," katanya menerusi Facebook rasmi kelab Johor Southern Tiger.

"Selangor FC ingin mengucapkan salam takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi pasca perlawananan Arema-Persebaya di Malang, Indonesia malam tadi," tulis Selangor FC.

Terdahulu, dilaporkan 129 orang terkorban selepas penonton merempuh masuk ke dalam padang ketika kekecohan penyokong yang berlaku dalam perlawanan liga bola sepak negara itu.

Penyokong kelab Arema yang tumpas dalam perlawanan itu masuk ke dalam padang dan pihak berkuasa terpaksa melepaskan gas pemedih mata, sekali gus mengakibatkan lebih ramai penonton merempuh masuk dan berlakunya kes sesak nafas.

Menurut portal berita Kompas, seramai 180 yang lain turut dikejarkan ke hospital akibat kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 8:16 PM