FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Pyongyang: Korea Utara dijangka memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyatnya November ini.

Berita itu dikeluarkan media kerajaan semalam iaitu kira-kira sebulan selepas negara itu mengisytiharkan kemenangan memerangi virus itu.

Ini adalah kali pertama negara terpencil itu mengumumkan secara rasmi rancangannya untuk vaksinasi sejak pandemik melanda.

"Selain vaksinasi yang dijalankan atas bertanggungjawab, kami perlu mengesyorkan rakyat mesti memakai pelitup muka untuk melindungi kesihatan mereka sendiri mulai November," kata pemimpin Kim Jong Un, menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) rasmi Pyongyang.

Katanya, pakar kesihatan di negara itu percaya paras antibodi Korea Utara yang diperoleh semasa wabak yang disahkan pada Mei lalu akan menurun menjelang Oktober.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menjelaskan dari mana vaksin itu diperoleh.

Laman web pakar yang berpangkalan di Seoul NK News melaporkan Pyongyang mungkin menerima beberapa bekalan daripada sekutu utamanya China.

Tahun lalu, negara itu menolak penghantaran vaksin Covid-19 AstraZeneca, yang diatur skim Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Covax kerana kebimbangan terhadap kesan sampingan, menurut sebuah badan pemikir Korea Selatan.

Negara miskin itu, yang mengekalkan sekatan tegar sejak permulaan wabak itu, mengesahkan wabak varian Omicron di ibu negara Pyongyang kira-kira empat bulan lalu.

Sebelum ini mereka merujuk pesakit demam dan bukannya pesakit Covid-19 dalam laporan kes dengan merekodkan hampir 4.8 juta jangkitan demam dan hanya 74 kematian untuk kadar kematian rasmi sebanyak 0.002 peratus, menurut media kerajaan.

Negara itu mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan paling teruk di dunia dengan hospital yang kurang lengkap, beberapa unit rawatan rapi dan tiada ubat rawatan Covid-19, menurut pakar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 11:20 AM