Papan iklan yang dipaparkan di Pyongyang, Korea Utara. - FOTO Reuters
Papan iklan yang dipaparkan di Pyongyang, Korea Utara. - FOTO Reuters
AFP

Seoul: Korea Utara merekodkan sifar kes baharu demam untuk hari ketujuh berturut-turut, hari ini, menurut media tempatan.

Ia turut melaporkan semua individu yang jatuh sakit selepas negara itu mengesahkan jangkitan pertama Covid-19, juga sudah pulih.

Negara itu yang mengekalkan langkah sekatan ketat bagi mengekang penularan sejak permulaan pandemik lagi, mengumumkan jangkitan sulung membabitkan varian Omicron berjaya dikesan di Pyongyang pada Mei lalu dan mengaktifkan 'sistem pencegahan epidemik kecemasan maksimum.'

Sejak itu, media negara berkenaan melaporkan angka rasmi kes jangkitan, kematian, rawatan dan pulih setiap hari, dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un tampil memfokus tindak balas kerajaan.

Negara itu bagaimanapun merujuk kes dilaporkan sebagai 'pesakit demam' dan bukan 'pesakit Covid-19', yang dilihat sebagai disebabkan kekurangan kapasiti ujian saringan.

"Tiada kes baharu demam dilaporkan sepanjang minggu terbaru ini, dan kesemua mereka yang menerima rawatan di seluruh negara telah sembuh. Keseluruhan situasi antiepidemik di negara ini sudah memasuki fasa kestabilan yang pasti.

"Negara akan terus mengukuhkan pemantauan terhadap sub varian baharu Covid-19 serta pelbagai penyakit, dan tetap berupaya memobilisasikan petugas perubatan sekiranya berlaku krisis," lapor agensi berita rasmi Korea utara, KCNA, hari ini.

Menurut laporan KCNA, Korea Utara merekodkan hampir 4.8 juta jangkitan dengan hanya 74 kematian yang bersamaan dengan kadar korban 0.002 peratus, setakat ini.

Sebelum ini, pakar dilaporkan mendakwa Korea Utara memiliki antara sistem penjagaan kesihatan paling lemah di dunia dengan hospital kekurangan kelengkapan, sejumlah kecil unit rawatan rapi, dan tiada vaksin atau ubat untuk rawatan Covid-19.

Sebaliknya, Korea Selatan yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan canggih dengan kebanyakan rakyat sudah menerima suntikan vaksin pula melaporkan kadar kematian akibat Covid-19 mencecah 0.12 peratus, berdasarkan data rasmi.

Bagaimanapun, seorang sarjana pengajian Korea Utara, Ahn Chan-il berkata, sukar untuk mempercayai mana-mana negara jika mereka mengatakan bahawa jumlah pesakit yang disahkan tiba-tiba menjadi sifar.

"Seperti senjata ketenteraan dan program nuklearnya, nampaknya betul untuk mengatakan bahawa Covid-19 juga digunakan untuk menonjolkan kepimpinan Kim Jong Un dan memupuk kesetiaan, tanpa mengira kebenarannya," katanya kepada AFP.

Pyongyang berkata pada akhir Mei ia telah mula melihat "kemajuan" dalam mengawal wabak itu tetapi pakar, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), telah berulang kali meragui tuntutan itu.

Korea Utara tidak dipercayai telah memberi vaksin kepada mana-mana kira-kira 25 juta penduduknya, selepas menolak tawaran daripada program Covax WHO.

Laman pakar NK News yang berpangkalan di Seoul melaporkan bahawa Korea Utara mengimport 3,554 ventilator invasif dari China pada bulan Jun, meningkat secara mendadak daripada April.

Tetapi Yang Moo-jin, seorang profesor di Universiti Pengajian Korea Utara, memberitahu AFP bahawa dakwaan Pyongyang telah membawa wabak itu terkawal kelihatan "agak boleh dipercayai".

Keadaan mungkin kembali normal kerana "tidak ada tanda-tanda kawalan sempadan yang lebih ketat, tiada permintaan rasmi telah dibuat kepada Beijing untuk bantuan perubatan atau peralatan, dan diplomat yang berpangkalan di Pyongyang kekal di tempatnya", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 5:05 PM