PAPAN tanda menunjukkan jalan ditutup susulan kebimbangan akibat penularan Covid-19. FOTO Kyodo/ Reuters
PAPAN tanda menunjukkan jalan ditutup susulan kebimbangan akibat penularan Covid-19. FOTO Kyodo/ Reuters
Reuters

Pyongyang: Korea Utara meningkatkan pengeluaran ubat-ubatan dan peralatan perubatan termasuk pensteril dan termometer dalam usaha memerangi wabak Covid-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Channel News Asia (CNA) memetik KCNA melaporkan, Korea Utara yang melaksanakan sekatan pergerakan di seluruh negara, meningkatkan pengeluaran ubat tradisional Korea.

Ia bagi digunakan untuk mengurangkan demam dan kesakitan serta berkesan dalam pencegahan juga penyembuhan penyakit.

Gelombang Covid-19 yang meluas pertama kali disahkan oleh Korea Utara minggu lalu menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan sumber perubatan dan vaksin, dengan agensi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai akibat yang mengancam 25 juta penduduknya.

Menurut KCNA, sekurang-kurangnya 262,270 individu lagi melaporkan simptom demam, dan seorang lagi meninggal dunia, setakat petang Rabu, berdasarkan data daripada ibu pejabat pencegahan wabak kecemasan negeri.

Data itu bagaimanapun tidak menyatakan berapa ramai individu yang disahkan positif Covid-19.

Korea Utara setakat ini melaporkan 1,978,230 individu dengan simptom demam dan 63 kematian serta melaksanakan langkah antivirus yang ketat.

Kilang dilaporkan menghasilkan lebih banyak suntikan, ubat-ubatan, termometer dan bekalan perubatan lain di sini (Pyongyang) dan kawasan berdekatan manakala lebih banyak wad pengasingan dipasang serta kerja nyahkuman dipergiat di seluruh negara.

"Ribuan tan garam diangkut segera ke sini (Pyongyang) untuk menghasilkan larutan antiseptik," kata KCNA.

Laporan itu dibuat selepas pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengkritik pengedaran ubat yang tidak berkesan dan menyelar pegawai kerana maklum balas tidak matang mereka terhadap wabak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 9:39 AM