ROBOT kambing BEX. FOTO AGENSI
ROBOT kambing BEX. FOTO AGENSI
Agensi

Tokyo: Untuk mengatasi masalah buruh serta membantu populasi penduduk yang semakin menua, Jepun membangunkan robot kambing dikenali sebagai BEX.

Wion News melaporkan, Jepun adalah negara yang menghargai teknologi sambil mengekalkan tradisinya.

Keengganan sekian lama negara itu untuk menerima pendatang, dan kadar kelahiran yang rendah, menyebabkan ramai penduduk Jepun adalah warga tua.

Walaupun negara sedang mengambil langkah untuk melonggarkan dasar imigresennya yang keras, ia terus dibelenggu oleh kekurangan buruh.

Sehubungan itu, Kawasaki Heavy Industries Jepun, sebuah syarikat multinasional yang terkenal dengan mesin perindustrian dan peralatan beratnya membangunkan robot yang dipercayai akan membantu mengatasi kekurangan buruh di negara itu.

BEX adalah robot berkaki empat, berbentuk seperti kambing.

Robot BEX dinamakan sempena spesies kambing liar Ibex dan ia mempunyai tanduk.

Menurut laporan Reuters, BEX masih menjalani ujian dan syarikat di sebalik robot kambing itu berharap untuk mengkomersialkannya menjelang 2023.

Robot itu mempunyai tanduk melengkung yang besar dan menggunakan empat kakinya untuk berjalan di atas permukaan yang kasar.

Pada permukaan licin, ia bergerak dengan sangat pantas dengan bantuan roda yang diselitkan di bahagian bawah perutnya.

BEX dikuasakan dengan bateri dan boleh membawa beban sehingga 100 kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 6:15 AM