Presiden dan CEO Sony, Kazuo Hirai, memperkenalkan robot anjing peliharaan ‘aibo’ di Tokyo, hari ini. - Foto AFP/REUTERS
Presiden dan CEO Sony, Kazuo Hirai, memperkenalkan robot anjing peliharaan ‘aibo’ di Tokyo, hari ini. - Foto AFP/REUTERS
AFP

SYARIKAT elektronik gergasi Jepun, Sony, menampilkan robot anjing peliharaan pintar serta kemudahan internet.

Robot baru ‘aibo’ anjing itu bersaiz 30 sentimeter dengan telinga panjang dan boleh menggoyangkan ekor serta mata boleh berputar bagi menggambarkan emosinya.

Ia dilengkapi pengesan, kamera dan mikrofon serta sambungan internet membolehkan pemilik bermain dengan anjing itu secara kawalan jauh menggunakan telefon pintar.

‘Robodog’ aibo Sony sebelum ini sudah dihentikan 10 tahun lalu, selepas mula mengeluarkan aibo generasi pertama pada Jun 1999 dengan 3,000 unit habis dijual dalam masa 20 minit walaupun berharga 250,000 yen (RM9,309) nilai wang sekarang.

Sebanyak 15,000 unit dijual dengan pelbagai model, termasuk versi warna perak dan anak anjing bermuka bulat.

Namun, pada 2006, Sony menghadapi masalah berikutan saingan yang dijual dengan harga murah menyebabkan aibo menjadi mahal di pasaran.

Robot anjing Sony terbaru ini akan mula dijual di Jepun Januari ini, dengan harga 198,000 yen (RM7,405).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 6:35 PM