FOTO fail menunjukkan program vakasinasi di sebuahpuast beli-belah di Bangkok, pada tahun lalu. FOTO Reuters
FOTO fail menunjukkan program vakasinasi di sebuahpuast beli-belah di Bangkok, pada tahun lalu. FOTO Reuters
Agensi

Bangkok: Kementerian Kesihatan Awam Thailand sudah meluluskan suntikan dos penggalak tambahan terhadap Covid-19 setiap empat bulan bagi mereka yang sudah menerima tiga dos.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) kementerian itu, Dr Opas Karnkawinpong berkata, jawatankuasa kecil DDC dalam menggalakkan imuniti penyakit mendapati data menunjukkan bahawa imuniti menurun tiga hingga empat bulan selepas vaksinasi.

Bangkok Post melaporkan Dr Opas berkata, kumpulan berisiko tinggi seperti golongan berumur 60 tahun ke atas, mereka yang mempunyai masalah asas dan wanita hamil sudah boleh mendapatkan dos penggalak setiap empat bulan mengikut keperluan.

"Mereka yang mempunyai rancangan untuk melancong ke luar negara, atau dengan imuniti yang terjejas, dinasihatkan untuk melakukan perkara yang sama.

"Sementara itu, keputusan jawatankuasa kecil meluluskan suntikan Moderna dos rendah atau 25 mikrogram setiap dos untuk kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun. Sela masa antara setiap suntikan hendaklah empat hingga 12 minggu," kata Dr Opas.

Kajian oleh Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Siriraj Dr Kulkanya Chokephaibulkit dan Ketua Pusat Kecemerlangan Virologi Klinikal Dr Yong Poovorawan, di Universiti Chulalongkorn, mengesahkan bahawa dos pertama Sinovac diikuti dengan suntikan Pfizer boleh meningkatkan imuniti untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Jawatankuasa kecil DDC berkata, individu yang mendapat vaksin Covid-19 boleh disuntik dengan vaksin lain pada hari yang sama.

Bagaimanapun, ini tidak termasuk vaksin vektor virus, yang memerlukan jurang sebulan kerana mereka menggunakan virus hidup untuk membawa DNA ke dalam sel manusia, dan suntikan serentak akan mengurangkan kecekapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 9:59 AM