FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
Reuters

Geneva: Buat masa ini, tiada bukti yang menunjukkan bahawa kanak-kanak dan remaja yang sihat memerlukan dos penggalak Covid-19.

Menurut Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Soumya Swaminathan, walaupun daya imuniti vaksin berkurangan terhadap varian Omicron yang pantas menular, selepas beberapa tempoh, lebih banyak kajian perlu dijalankan untuk menentukan siapa yang memerlukan suntikan dos penggalak.

Israel sudah mula menawarkan dos penggalak untuk kanak-kanak semuda usia 12 tahun dan awal bulan ini Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) mengumumkan bahawa ia sudah meluluskan penggunaan dos penggalak vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 bagi kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun.

Jerman menjadi negara terbaru yang mengesyorkan dos penggalak untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun, pada minggu lalu.

Hungary juga mengikut langkah sama.

Swaminathan berkata, kumpulan tertinggi pakar WHO akan berjumpa hujung minggu ini untuk mempertimbangkan persoalan khusus mengenai bagaimana negara harus mempertimbangkan pemberian dos penggalak kepada penduduk mereka.

"Tujuannya adalah untuk melindungi golongan yang lemah dan mereka yang berisiko tinggi mengalami penyakit kronik. Ia meliputi penduduk warga tua, golongan imuniti terjejas dan juga pekerja khidmat jagaan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 5:38 PM