FOTO HIASAN EPA
FOTO HIASAN EPA
BERNAMA

Bangkok: Thailand merancang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 120 juta dos vaksin Covid-19 tahun depan, termasuk vaksin generasi kedua untuk suntikan penggalak serta dos kanak-kanak bagi mendapatkan perlindungan tambahan.

Ketua Pengarah, Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Opas Karnkawinpong berkata, Institut Vaksin Nasional merancang untuk membeli pelbagai jenis vaksin termasuk mRNA, vektor viral dan protein.

Katanya, rancangan itu meliputi 50 juta dos masing-masing daripada Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

Menurutnya, pembelian itu juga termasuk vaksin generasi kedua yang berupaya melindungi daripada varian semasa dan akan datang, sekiranya syarikat berkenaan berjaya membangunkan vaksin seumpama itu.

"Jumlah dan tempoh penghantaran akan dibincangkan lebih lanjut kemudian," katanya seperti dilaporkan The Nation.

Sejak memulakan program vaksinasi pada 28 Februari lalu, Thailand sudah memberikan 26.83 juta suntikan termasuk 8,393 dos penggalak untuk kakitangan barisan hadapan yang sebelum ini menerima vaksin Sinovac.

Berikutan penularan varian Delta, pihak berkuasa kesihatan meninjau untuk memberikan dos penggalak bagi menentang varian berkenaan.

Malah, ketika ini Thailand menggiatkan usaha pemberian vaksin untuk mengekang penularan di negara berkenaan.

Dalam pada itu, Thailand merekodkan 19,014 kes baru dengan 233 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 1.05 juta kes dan 9,320 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 7:08 PM