GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Kabul: Sekurang-kurangnya empat terkorban, dan beberapa orang cedera dalam satu letupan bom membabitkan bas mini di ibu negara Afghanistan, semalam.

Beberapa pengeboman berlaku kepada bas mini yang membawa penumpang dari pejabat atau pasar ke rumah mereka.

Letupan di sebuah daerah timur Kabul adalah yang terbaharu dalam siri serangan maut yang menggegarkan negara itu beberapa bulan kebelakangan ini.

Jurucakap polis, Khalid Zadran berkata, sepasukan anggota keselamatan Taliban dikerahkan ke kawasan itu untuk menyiasat pengeboman terbabit.

Katanya, tiada kumpulan setakat ini mengaku bertanggungjawab atas pengeboman yang berlaku di daerah yang didiami terutama masyarakat Sunni Pashtun.

Walaupun jumlah pengeboman menurun di seluruh negara sejak Taliban merampas kuasa pada Ogos, serangan semakin meningkat baru-baru ini.

Puluhan orang awam terbunuh di Kabul dan bandar-bandar lain dalam serangan terutama pada Ramadan lalu.

Serangan paling maut berlaku di bandar utara Kunduz pada 22 April lalu.

Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dalam letupan itu dan lebih ramai lagi cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 9:54 AM