KEJADIAN letupan bas mini yang mengorbankan empat nyawa di  kawasan Dashti Barchi, Kabul petang semalam.
KEJADIAN letupan bas mini yang mengorbankan empat nyawa di kawasan Dashti Barchi, Kabul petang semalam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kabul: Asap tebal boleh dilihat penulis dari jarak kira-kira 100 meter manakala laluan masuk ke kawasan letupan bom disekat tentera Taliban kepada kenderaan dan orang ramai.

Itu antara situasi cemas dilalui penulis sebaik mengetahui berlaku serangan bom jangka menggunakan peranti atau IED di kawasan Dashti Barchi, Isgayi Dwakhana di sini, sekitar jam 4.30 petang semalam.

Kejadian berlaku ketika penulis bersama exco pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) dalam perjalanan menaiki bas mini menuju ke ibu pejabat Jamiat Eslah di kawasan Taimani di sini.

Salah seorang penduduk, Baish Khan Shasaq, 25, memberitahu, letupan dipercayai dilakukan pengganas yang meletakkan bom jangka IED di dalam sebuah bas mini.

Menurutnya, letupan berlaku ketika bas itu sedang bergerak menyebabkan sekurang-kurangnya empat penumpang bas mini itu terbunuh manakala dua lagi cedera.

"Akibat letupan itu, laluan masuk dan kawasan berkenaan ditutup kepada orang ramai. Mayat mangsa yang maut dihantar ke Jinnah Hospital Kabul.

"Serangan ini memang dirancang apabila berlaku satu lagi letupan susulan kira-kira 30 minit kemudian di kawasan Dehbori di sini. Keseluruhan yang maut dalam dua kejadian letupan ini adalah seramai tujuh orang manakala ramai yang cedera," katanya.

Seorang lagi penduduk Kabul, Abdul Rahim Ghafari, 30, kejadian serangan bom jangka atau pengebom berani mati berlaku saban minggu sejak Taliban mengambil alih pemerintahan negara itu.

Menurutnya, masih wujud persengketaan membabitkan golongan pengganas Daesh-Khorasan (IS-K) yang enggan berdamai dengan pihak Taliban.

"Kami sudah lali dengan kejadian serangan sebegini berikutan ia kerap berlaku ketika tentera Amerika Syarikat dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berada di negara ini sejak 20 tahun lalu.

"Namun ia sudah berkurangan dan hanya segelintir pihak yang masih mahu melakukan kekacauan sebegini. Biasanya kawasan tumpuan ramai terbuka selain masjid menjadi sasaran mereka," katanya.

Menurutnya, serangan itu kerap dikaitkan dengan kumpulan militan Daesh-Khorasan (IS-K) yang kerap menyasarkan penganut syiah Afghanistan.

Pada 12 November lalu, letupan bom jangka turut berlaku di dalam sebuah masjid di Spin Ghar, Wilayah Ngangarhar, ketika orang ramai sedang menunaikan solat Jumaat.

Kejadian itu menyebabkan tiga mangsa terkorban dan 12 yang lain mengalami cedera.

Manakala pada 2 November lalu, Komando Tentera Taliban, Hamdullah Mokhlis antara 20 mangsa yang terbunuh dalam serangan letupan disusuli tembakan di hospital tentera terbesar di Kabul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 9:17 AM