Sebahagian pelarian Rohingya yang diselamatkan di Bireuen, wilayah Aceh. - FOTO AFP
Sebahagian pelarian Rohingya yang diselamatkan di Bireuen, wilayah Aceh. - FOTO AFP
Agensi

Banda Aceh: Lebih 100 Rohingya yang kebuluran dan tidak bermaya ditemui di pantai Aceh hari ini dipercayai selepas berminggu-minggu berada di laut.

Kumpulan itu tiba di pantai Jangka berdekatan Alue Buya Pasi, iaitu sebuah kampung nelayan di daerah Bireuen pada pagi ini.

Penghulu kampung, Badruddin Yunus berkata, penduduk kampung ternampak seramai 114 pelarian Rohingya dalam sebuah bot kayu, membantu mereka mendarat dan kemudian melaporkan ketibaan mereka kepada pihak berkuasa.

"Mereka kelihatan sangat lemah akibat kelaparan dan kekurangan air selepas begitu lama di laut," katanya.

Menurutnya, setakat ini belum dapat dipastikan dari mana mereka memulakan pelayaran atau destinasi yang ingin dituju kerana tiada seorang pun daripada mereka boleh berbahasa Inggeris atau bertutur dalam bahasa Melayu.

Antara melaporkan, kumpulan seramai 58 lelaki, 21 wanita dan 35 kanak-kanak itu diberikan tempat berteduh dan menerima bantuan daripada penduduk kampung, polis dan anggota tentera, manakala pihak berkuasa tempatan, termasuk pasukan bertindak Covid-19, membantu untuk mendaftar mereka.

Sementara itu, AFP melaporkan, seorang pelarian, Omar Faruq memberitahu wartawan AFP bahawa mereka sudah berada di laut selama 25 hari.

"Kami berasal dari Myanmar tetapi kami melarikan diri ke Bangladesh dan kami memulakan perjalanan kami dari Bangladesh.

"Kami meninggalkan Bangladesh kerana keadaan Rohingya di kem itu tidak baik, ia menjadi sangat teruk pada masa ini," kata remaja berusia 11 tahun itu dalam bahasa Inggeris.

Faruk berkata, dia meninggalkan ibunya di Bangladesh dan mengikut bapa saudaranya untuk memulakan hidup baharu, sebaik-baiknya di negara majoriti Islam seperti Indonesia atau Malaysia.

"Kami meninggalkan Bangladesh ke negara ini untuk mencipta masa depan yang indah... Saya tidak mempunyai bapa, hanya seorang bapa saudara dan ibu saya masih di Bangladesh. Saya datang ke sini kerana ingin mendaptkan pelajaran," katanya.

Ia adalah ketibaan kedua kumpulan itu di Indonesia sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Lebih 100 Rohingya juga tiba di Bireun pada akhir Disember selepas hanyut selama beberapa hari sebelum kerajaan Indonesia akhirnya membenarkan mereka mendarat dan menunda bot mereka ke pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 6:41 PM