Manila: Sempadan Filipina akan terus ditutup kepada semua pelancong dari India, Pakistan, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, Oman, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hingga 15 Jun, kata jurucakap presiden Harry Roque pada Isnin.
Roque berkata, langkah itu mendapat persetujuan Presiden Filipina Rodrigo Duterte, untuk mencegah penularan varian yang cepat merebak, lapor Xinhua.
Kerajaan sebelum ini melarang kemasukan pelancong dari tujuh negara itu sehingga 31 Mei.
Filipina pada awalnya mengenakan sekatan perjalanan dari India mulai 29 April kemudian diperluas kepada pelancong dari Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka bermula 7 Mei.
Kerajaan Filipina turut menyekat kemasukan dari Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mulai 15 Mei selepas pekerja yang balik dari dua negara itu didapati positif varian Covid-19.
Setakat ini, Filipina telah melaporkan sejumlah 1,230,301 kes Covid-19 termasuk 20,966 kematian.