PENDUDUK Brisbane menunggu giliran bagi menjalani ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu. FOTO EPA
PENDUDUK Brisbane menunggu giliran bagi menjalani ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu. FOTO EPA
AFP

Brisbane: Lebih dua juta penduduk di Brisbane menjalani sekatan pergerakan (lockdown) selama tiga hari, selepas satu kluster Covid-19 dikesan di bandar ketiga terbesar di Australia itu.

Ia adalah lockdown mengejut kedua dikuatkuasakan di bandar berkenaan dan kawasan sekitarnya, selepas tujuh individu disahkan positif virus itu - kes pertama penularan Covid-19 dalam komuniti yang signifikan dalam tempoh beberapa bulan lalu.

"Ini adalah strain (Covid-19) United Kingdom. Ia mudah menular. Sekarang kita perlu mengadakan (lockdown) ini bagi mengelak lockdown jangka panjang," kata Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk.

"Kita melihat apa yang berlaku di negara lain. Saya tidak mahu melihat ia terjadi di Queensland, saya tidak mahu ia berlaku di Australia."

Sekolah, restoran dan bar akan ditutup mulai jam 5 petang pada Isnin tetapi orang ramai masih boleh keluar rumah untuk kerja yang keperluan, untuk membeli makanan, bersenam dan mendapatkan rawatan perubatan.

Memakai pelitup muka di tempat awam juga menjadi mandatori di Queensland, selepas seorang individu yang dijangkiti Covid-19 melakukan perjalanan dari Gladstone di wilayah itu.

Australia dilihat cemerlang dalam menangani penularan Covid-19 dengan lebih sedikit daripada 29,000 kes dan 909 kematian.

Bagaimanapun, imunisasi Covid-19 di negara itu masih perlahan dengan hanya 500,000 suntikan sudah diberikan di negara dengan 25 juta penduduk itu.

Sebelum lockdown ini, Brisbane adalah antara beberapa bandar yang memberi kelonggaran kepada penduduknya untuk menghadiri acara termasuk konsert dan sukan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 12:06 PM