GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Islamabad: Satu letupan bom menggegarkan bandar Chaman di wilayah Balochistan, Pakistan menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang maut termasuk seorang kanak-kanak, manakala 14 yang lain cedera, lapor Xinhua.

Kejadian pada Selasa itu berlaku apabila sebuah kenderaan pasukan separa tentera Pakistan dibom di Taj Road, Chaman, bersempadan dengan Afghanistan, kata polis.

Bagaimanapun, pegawai itu tidak mengesahkan sama ada mangsa yang terbunuh atau cedera terdiri anggota tentera.

Bom itu dipasang di sebuah motosikal yang diletakkan berhampiran kenderaan tentera sebelum diletupkan menggunakan alat kawalan jauh.

Kawasan kejadian dikepung untuk membolehkan operasi memburu dalang kejadian.

Setakat ini, tiada kumpulan atau individu mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 3:30 PM