Lokasi mangsa dikuburkan orang tuanya. FOTO Kompas.com
Lokasi mangsa dikuburkan orang tuanya. FOTO Kompas.com
Agensi

Jakarta: Gara-gara sukar memahami pelajaran secara dalam talian, seorang kanak-kanak di Indonesia didera ibunya sampai mati.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lebak, David Adhi Kusuma berkata, suspek berusia 26 tahun mengaku melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Larangan, Kota Tangerang, 26 Ogos lalu.

"Suspek mengaku membunuh anaknya kerana bengang kanak-kanak berusia lapan tahun itu sukar memahami apa yang disampaikan guru ketika sesi belajar dalam talian.

"Ketika kejadian, mangsa menyiapkan kerja sekolahnya secara dalam talian sebelum suspek mula menganiaya dengan mencubit serta memukul menggunakan penyapu.

"Akibat penderaan itu, mangsa tersungkur dan sesak nafas, namun wanita itu tidak berhenti setakat itu sebaliknya memukul lagi belakang kepala anaknya sebanyak tiga kali," katanya seperti dipetik dalam portal Kompas.com.

Katanya, suami suspek yang mengetahui perbuatan suspek itu memarahi isterinya sebelum membawa anak mereka keluar mengambil angin.

"Mereka membawa anak itu keluar mengambil udara segar untuk memulihkan masalah sesak nafas dialaminya, namun kanak-kanak itu meninggal dunia dalam perjalanan.

"Panik dengan apa yang berlaku menyebabkan kedua-dua suspek menanam sendiri mayat anak mereka dengan berpakaian lengkap di Gunung Kendeng," katanya.

David berkata, rahsia pasangan itu terbongkar selepas dua minggu apabila penduduk setempat curiga dengan kemunculan kubur baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 7:02 AM