LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis masih menjalankan siasatan terhadap seorang wanita mengenai peranannya sebagai 'ibu ayam' termasuk kemungkinan terdapat kanak-kanak lain yang dijadikan mangsa eksploitasi seks.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, siasatan dijalankan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Beliau berkata, wanita berusia 56 tahun terbabit dalam tahanan reman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu sehingga 29 Februari ini.

Katanya, turut direman adalah dua pelacur wanita warga Indonesia masing-masing berusia 57 dan 45 tahun.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui lebih lanjut pembabitan suspek dalam kegiatan haram itu.

"Kanak-kanak perempuan dan seorang wanita yang diselamatkan selepas disyaki dipaksa melacur oleh suspek kini berada di bawah pemantauan polis," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Akhbar ini terdahulu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun terpaksa melalui detik hitam apabila dipaksa memuaskan nafsu lelaki warga asing hingga tiga kali sehari gara-gara dilacur seorang ibu ayam.

Difahamkan, ibu ayam terbabit disyaki melacurkan kanak-kanak malang itu kepada pekerja warga asing di sekitar sebuah pusat perindustrian di Banting, Kuala Langat dengan bayaran RM150 sejak empat bulan lalu.

Menurut sumber, pelacur kanak-kanak terbabit tidak mempunyai hubungan dengan suspek dan difahamkan mangsa diserahkan di bawah jagaan suspek oleh ibu bapanya.

Katanya, berdasarkan siasatan awal dipercayai kanak-kanak berkenaan anak tidak sah taraf daripada pasangan warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 1:08 PM