LOGO TikTok di luar pejabatnya di Culver City, California. FOTO AFP
LOGO TikTok di luar pejabatnya di Culver City, California. FOTO AFP
AFP

San Francisco: TikTok pada Isnin memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bagi menghentikan Montana daripada melaksanakan larangan keseluruhan pada aplikasi perkongsian videonya.

Larangan yang ditetapkan bermula pada 2024 itu melanggar hak kebebasan bersuara yang dilindungi oleh perlembagaan.

"Kami percaya pihak peguam akan dapat menentang berdasarkan fakta yang kuat," kata jurucakap TikTok kepada AFP.

Gabenor Montana Greg Gianforte menandatangani larangan yang belum pernah berlaku sebelum ini menjadi undang-undang pada 17 Mei bagi melindungi data peribadi daripada China.

Sementara itu, TikTok menerusi hujahan tuntutannya berkata, negeri berkenaan menggubal langkah luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini berdasarkan spekulasi tidak berasas.

Lima pengguna TikTok minggu lalu memfailkan saman menyeru Mahkamah Persekutuan membatalkan larangan Montana terhadap aplikasi itu dengan alasan ia melanggar hak kebebasan bersuara mereka.

"Montana tidak boleh lagi melarang penduduk daripada melihat atau menyiarkan video ke TikTok," hujah mereka.

Negeri itu cuba menggunakan kuasa keselamatan negara yang hanya boleh digunakan oleh Kerajaan Persekutuan dan ia didakwa melanggar hak kebebasan bersuara dalam proses itu.

TikTok menggesa mahkamah mengisytiharkan larangan itu sebagai tidak mengikut perlembagaan dan menyekat negeri itu daripada melaksanakannya.

Aplikasi itu dimiliki oleh firma China ByteDance dan sebahagian ahli politik AS mendakwa ia di bawah pengawasan kerajaan China, namun dinafikan syarikat berkenaan.

Montana menjadi negeri pertama AS yang mengharamkan TikTok, dengan undang-undang itu akan berkuat kuasa tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 10:10 AM