Pengarah Mentega Terbang, Mohd Khairianwar Jailani hadir pada Permohonan semakan jenayah berhubung perintah larangan bersuara (gag order) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Pengarah Mentega Terbang, Mohd Khairianwar Jailani hadir pada Permohonan semakan jenayah berhubung perintah larangan bersuara (gag order) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan perintah larangan bersuara (gag order) supaya pengarah dan penulis skrip filem Mentega Terbang tidak membuat sebarang kenyataan dan komen berhubung kes dihadapinya.

Gag order adalah satu perintah yang menghalang maklumat daripada disebarkan atau dikomen daripada atau oleh orang awam dan ia dikeluarkan oleh kerajaan dan mahkamah.

Pemohon, Mohd Khairianwar Jailani, 32, memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi pada 18 Januari lalu bagi mencabar gag order dikeluarkan mahkamah majistret terhadapnya.

Permohonan semakan berkenaan dibuat atas alasan larangan itu menyalahi undang-undang dan menyekat kebebasan bersuara.

Dalam prosiding hari ini, Hakim K Muniandy memutuskan perintah gag order itu perlu dikekalkan untuk memelihara kepentingan perbicaraan.

"Mahkamah membenarkan permohonan semakan pemohon, jaminan (RM6,000) dikekalkan dan perintah lapor diri di balai polis diketepikan.

"Bagi permohonan gag order, mengambil kira sifat pertuduhan yang dihadapi pemohon, mahkamah perlu memelihara kepentingan perbicaraan dan perintah itu dikekalkan," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Mohd Izhar manakala peguam Zaid Malek mewakili pemohon.

Terdahulu, Zaid berkata, alasan permohonan itu dibuat adalah kerana pihak pembelaan percaya mahkamah majistret menyalahtafsirkan prinsip-prinsip perintah larangan.

Sementara itu, Nadia berhujah perintah larangan itu perlu dikekalkan kerana membabitkan isu agama.

Pada 17 Januari lalu, Mohd Khairianwar dan penerbit, Tan Meng Kheng, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim dan Aina Azahra Arifin.

Kedua-dua majistret itu kemudian membenarkan cadangan syarat tambahan pihak pendakwaan supaya kedua-dua tertuduh dikenakan larangan memberi kenyataan dan komen mengenai kes itu hingga ia selesai.

Mengikut pertuduhan, Mohd Khairianwar dan Tan didakwa sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek dalam penglihatan orang, dengan berperanan sebagai pengarah, penulis skrip dan penerbit Mentega Terbang.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Semarak Api 2, di sini, jam 12.34 tengah hari pada 26 Februari 2023, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Bulan lalu, kedua-dua lelaki berkenaan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan kerajaan mengharamkan filem berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan filem itu pada 1 September tahun lalu, yang mana kedua-dua lelaki terbabit mendakwa ia satu tindakan tidak rasional yang melanggar kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ditayangkan menerusi platform penstriman Viu, filem berdurasi 104 minit itu mengisahkan 'konflik keagamaan' yang dihadapi seorang remaja beragama Islam bernama Aisyah, yang mempelajari agama lain terutama dalam mencari jawapan kepada persoalan hidup selepas mati.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 1:15 PM