PASUKAN keselamatan melakukan siasatan di lokasi kejadian. Reuters
PASUKAN keselamatan melakukan siasatan di lokasi kejadian. Reuters
AFP

Washington: Kejadian tembakan rambang membunuh sekurang-kurangnya empat individu maut dan lebih 20 lagi cedera, kebanyakannya remaja, ketika mereka meraikan majlis ulang tahun kelahiran pada malam Sabtu di Alabama, Amerika Syarikat (AS).

Media tempatan melaporkan, tembakan rambang itu berlaku ketika kumpulan individu itu mengadakan pesta Sweet 16 di sebuah studio tarian di Dadeville, sebuah bandar kecil di timur laut ibu negeri Montgomery.

"Empat nyawa terkorban secara tragis dalam insiden itu dan ramai mengalami kecederaan," kata Sarjan Jeremy Burkett, jurucakap Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Alabama (ALEA), kepada pemberita pada Ahad.

Beliau kemudiannya menyatakan bahawa 28 individu cedera, sebahagian daripada mereka kritikal, dan memohon penduduk setempat untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan dengan serangan itu.

Bagaimanapun, Burkett tidak memberikan butiran lanjut bagaimana kejadian itu berlaku atau puncanya.

Annette Allen memberitahu, cucunya Phil Dowdell adalah antara mereka terkorban ketika meraikan ulang tahun kelahiran kakaknya Alexis, yang ke-16 ketika kejadian.

"Dia seorang kanak-kanak yang sangat, sangat merendah diri. Tak pernah kacau sesiapa. Sentiasa terpancar senyuman di wajahnya," kata Allen mengenai cucunya, pelajar sekolah menengah dan pemain bola sepak yang sepatutnya menamatkan persekolahan dalam beberapa minggu lagi.

Presiden AS Joe Biden, yang diberi taklimat mengenai insiden tembakan itu berkata, negara itu sekali lagi berduka atas pemergian anak muda negara itu yang terbunuh dalam keganasan senjata api.

Sementara itu, pengarah pemasaran bagi pengendali kemudahan kesihatan luar bandar IvyCreek Healthcare, Heidi Smith memberitahu AFP, Hospital Komuniti Lake Martin berhampiran menerima 15 pesakit yang cedera ditembak kebanyakannya dalam usia remaja.

"Enam daripada pesakit dibenarkan keluar manakala sembilan lagi dipindahkan ke fasiliti dengan tahap penjagaan yang lebih tinggi dan daripada jumlah itu, lima berada dalam keadaan kritikal," kata Smith.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 9:44 AM