DONALD Trump tiba di Menara Trump. FOTO AFP
DONALD Trump tiba di Menara Trump. FOTO AFP
AFP

New York: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tiba di bandar raya ini untuk menghadiri perbicaraan membabitkan tuduhan jenayah ke atasnya, hari ini.

Trump yang berusia 76 tahun itu menjadi bekas Presiden AS pertama didakwa atas tuduhan jenayah.

Beliau secara rasmi akan menjalani prosiding atas dakwaan jenayah termasuk pembayaran wang AS$130,000 (RM573,105) bagi menutup mulut bintang lucah, Stormy Daniels beberapa hari sebelum kemenangan Trump pada pilihan raya 2016.

Trump mendarat di Lapangan Terbang LaGuardia selepas penerbangan selama dua jam setengah dari Florida dengan menaiki pesawat Boeing 757 peribadi yang tertera namanya.

Perjalanan itu turut mendapat liputan meluas media.

Trump kemudian menuju ke Menara Trump, tempat dia bermalam sebelum ke Mahkamah Manhattan petang Selasa.

Polis di bandar itu berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan pengawal keselamatan dan ejen Perkhidmatan Rahsia berkawal di luar Menara Trump di Fifth Avenue dan mahkamah di Lower Manhattan.

Datuk Bandar Eric Adams memberi amaran, sesiapa yang membantah secara ganas semasa perbicaraan bersejarah Trump akan ditangkap dan bertanggungjawab.

Sebagai sebahagian daripada perbicaraan beliau, Trump akan menjalani prosedur standard untuk penahanan dengan cap jari dan gambarnya akan diambil, berkemungkinan menghasilkan salah satu gambar syot wajah (mugshot) paling terkenal pada era moden.

Bercakap kepada CNN, peguam beliau, Joe Tacopina berkata, Trump sedang bersiap sedia untuk 'berperang' dan akan mengaku tidak bersalah.

Juri besar mendakwa Trump minggu lalu dalam kes yang dibawa oleh Peguam Daerah Manhattan Alvin Bragg, seorang Demokrat yang dipilih.

Pertuduhan khusus akan didedahkan semasa perbicaraan hari ini.

Tinjauan CNN semalam mendapati, 94 peratus daripada Demokrat yang ditinjau meluluskan keputusan untuk mendakwa Trump, manakala 79 peratus daripada Republikan tidak bersetuju.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 10:08 AM