TANGKAP layar kejadian guru memukul pelajarnya. FOTO Agensi
TANGKAP layar kejadian guru memukul pelajarnya. FOTO Agensi
Agensi

Houston: Seorang guru Bahasa Inggeris di Humble High School disiasat selepas rakamannya memukul dengan ganas seorang pelajarnya yang menyebabkan mangsa terpaksa menerima rawatan di unit kecemasan hospital.

Guru yang mengajar di sekolah terletak di luar Houston itu sudah pun diberikan cuti dan bapa pelajar itu, Elvert Bolden menuntut guru itu dihalang daripada mengajar lagi.

Daily Mail melaporkan Bolden berkata, pergaduhan 'menjengkelkan' itu bermula kerana guru itu menganggap anaknya terlalu 'lantang'.

Bolden berkata anaknya mengalami kecederaan, lebam dan memerlukan tongkat untuk berjalan selepas kejadian itu.

Klip video menunjukkan guru berbaju ungu berkenaan dan pelajar itu yang berpakaian hitam dalam pergelutan dengan aksi termasuk meja dan kerusi 'terbang'.

Guru itu kemudiannya memegang dan menolak pelajar dinding dengan tangan di kedua-dua belah leher mangsa, manakala sekumpulan pelajar lain kelihatan cuba meleraikan.

Pada satu ketika pelajar itu mengangkat tangannya ke udara seolah-olah menunjukkan dia tidak melawan, tetapi gurunya terus menolaknya ke dinding, menghempas pelajar itu ke lantai dan memanjat ke atasnya sebelum mereka akhirnya terpisah.

Dalam satu kenyataan, pihak sekolah menerusi Humble Independent School District menggelar kejadian itu sebagai 'tidak boleh diterima'.

"Ia tidak sepatutnya berlaku. Ia tidak boleh diterima. Guru itu sudah diberi cuti. Siasatan sedang dijalankan, dan tidak mungkin dia akan kembali (mengajar) apabila siasatan selesai

"Guru itu menggunakan kekuatan fizikal supaya seorang pelajarnya duduk dan mendengar. Tingkah laku guru ini tidak boleh diterima dan bertentangan dengan piawaian dan jangkaan untuk semua pekerja," katanya dalam kenyataan.

Pihak sekolah menambah bahawa polis daerah sedang menyiasat kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 1:57 PM