ABD Jalil mengajar pelajarnya. FOTO Ihsan Dr Abd Ghani Jalil.
ABD Jalil mengajar pelajarnya. FOTO Ihsan Dr Abd Ghani Jalil.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Demi melihat insan yang dididik mampu menulis dan membaca, seorang guru sanggup berkorban masa dan tenaga pergi ke rumah pelajarnya untuk mengajar walaupun di hujung kampung.

Guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Pokok Sena, Dr Abd Ghani Jalil, 46, berkata, pendidikan yang diberi tidak terbatas hanya di sekolah dan dia secara sukarela sanggup mengajar ke rumah pelajar yang kebanyakan adalah terdiri daripada keluarga miskin dan berada dalam kelas pemulihan.

"Saya mula mengajar hingga ke rumah mereka sejak awal tahun ini sama ada secara kelompok atau individu.

"Saya lakukan secara sukarela kerana mahu melihat mereka dapat membaca serta menulis dengan baik demi masa depan walaupun terpaksa masuk hutan dengan jalan yang tidak sempurna ," katanya di sini.

Bercerita lanjut Abd Jalil berkata, dia mengambil inisiatif dengan membuat modul sendiri bagi memudahkan pelajar membaca dan menulis.

GURU SMK Bukit Payong, Pokok Sena, Abd Ghani ke rumah pelajar untuk mengajar  membaca dan menulis sejak awal tahun ini. FOTO Ihsan dR Abd Ghani Jalil.
GURU SMK Bukit Payong, Pokok Sena, Abd Ghani ke rumah pelajar untuk mengajar membaca dan menulis sejak awal tahun ini. FOTO Ihsan dR Abd Ghani Jalil.

Katanya, seramai 26 pelajar terbabit kurang motivasi diri dan segelintir daripadanya sering ponteng sekolah.

"Saya dekatkan diri dengan mereka secara perseorangan supaya mereka tidak merasa tersisih, rata-rata dapat memberi perhatian dan terharu dengan apa yang saya lakukan.

"Selain mendidik mereka supaya boleh membaca dan menulis, saya mahukan mereka berjaya dalam bahasa Melayu kerana subjek itu nadi kejayaan terutama dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM)," kata anak jati dari Pahang itu.

Menurut Abd Ghani, pengorbanannya selama ini semakin berhasil apabila ramai dalam kalangan pelajarnya itu sudah mampu menguasai membaca dan menulis dengan baik.

Katanya, pada waktu persekolahan dia akan mengajar pelajar terbabit pada waktu petang dan pada hari cuti pula akan mengajar pada pagi, tengah hari dan petang.

"Walaupun penat mengajar pada waktu pagi tetapi kejayaan pelajar dapat berjaya membaca dan menulis menjadi hadiah kepada saya.

"Kini saya dapat rasakan minat mereka dalam pelajaran semakin tinggi berbanding sebelum ini, melihat kesungguhan mereka saya sanggup membeli meja dan kerusi supaya mereka lebih selesa untuk belajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 12:32 PM