TIGA beradik yang berkongsi tarikh kelahiran sama. FOTO Kristin Lammert
TIGA beradik yang berkongsi tarikh kelahiran sama. FOTO Kristin Lammert
Agensi

Miami: Ketika Kristin Lammert disahkan mengandungkan anak keduanya Giuliana, tarikh kelahiran dijangka hampir dengan anak pertamanya, Sophia.

Ia menyebabkan Lammert yakin Guiliana akan dilahirkan tarikh yang sama iaitu pada 25 Ogos walaupun tiada sesiapa mempercayai telahan itu.

Namun siapa sangka, tiga tahun kemudian, anak ketiga Mia juga dilahirkan pada tarikh sama, menjadikan 25 Ogos sebagai tarikh istimewa untuk keluarga berkenaan.

"Saya pada mulanya hanya bergurau mengenai kelahiran anak kedua dan anak ketiga pada tarikh yang sama.

"Walaupun sekadar bergurau, saya masih menaruh harapan supaya ia benar-benar berlaku," katanya seperti dilaporkan Today Parents.

Wanita berusia 32 tahun itu berkata, anak pertamanya kini berusia enam tahun, anak kedua berumur tiga tahun dan yang bongsu, berusia dua bulan.

"Sophia pernah berkata dia akan mendapat anak lagi pada hari lahirnya yang keenam dan ia benar-benar berlaku," katanya.

Tiga anak dalam sebuah keluarga lahir pada hari yang sama adalah sesuatu yang sangat jarang berlaku.

Dr Christine Greves, doktor di Hospital Winnie Palmer di Orlanda, Florida, menganggap ia sesuatu yang sangat pelik.

"Ia sangat pelik dan kami juga sudah bertemu ahli statistik dan ia juga menganggap perkara ini sukar untuk dikira," katanya.

Berdasarkan Guinness World Records, sebuah keluarga mempunyai lima beradik yang lahir pada tarikh sama dan kejadian itu dianggap satu dalam 17 juta kelahiran.

Greves berkata, hanya lima peratus daripada bayi yang dilahirkan tepat pada tarikh jangkaan kelahiran.

Ketika disahkan hamil anak ketiga, Lammert diberitahu bahawa dia mungkin akan bersalin pada 29 Ogos.

Katanya, dia bergurau dengan ahli keluarganya bahawa bayinya akan dilahirkan empat hari lebih awal.

"Saya bergurau akan melahirkan anak (ketiga), empat hari lebih awal, namun keluarga seakan tidak mempercayainya. Namun, ia benar-benar berlaku," kata Lammert.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 7:15 AM