Dr Mohamed Rafi dan Dr Ummul Wahiy

Ramai wanita dan pasangan yang menantikan kelahiran cahaya mata menginginkan kelahiran yang mudah, tiada komplikasi dan paling utama, kelahiran normal. Namun, perlu diketahui bahawa ada beberapa indikasi yang menyebabkan kelahiran cara bedah atau Ceasarean (LSCS) wajar dilakukan oleh doktor demi keselamatan anda dan bayi.

LSCS adalah kelahiran melalui hirisan pada dinding abdomen dan rahim, yang dilakukan dengan berhati-hati. Apabila mencapai rahim, hirisan melintang dibuat pada bahagian bawah rahim untuk mengeluarkan bayi.

Sebelum pembedahan, si ibu akan diberikan bius (umum, tulang belakang atau epidural) jika anda belum diberikan satu sebelumnya ketika sakit untuk bersalin.

Apakah situasi yang memerlukan LSCS?

Ada banyak sebab doktor mengesyorkan LSCS sama ada secara elektif atau untuk mencegah situasi kritikal.

Pembedahan elektif:

1. Sudah melalui dua kelahiran secara LSCS sebelum ini. Parut pada rahim berpotensi pecah pada waktu sakit bersalin atau ketika sarat mengandung. Ini disebabkan kelemahan pada bahagian rahim yang melalui pemotongan berulang kali (rahim pecah).

2. Previa plasenta: Ini berlaku apabila plasenta terletak rendah pada rahim dan sebahagiannya atau sepenuhnya menutup serviks. Seorang daripada 200 wanita hamil mengalami previa plasenta dalam trimester ketiga. Rawatan membabitkan berehat di katil dan pemantauan yang kerap. Sekiranya previa plasenta sepenuhnya atau separa didiagnosis, LSCS perlu dilakukan.

3. Kedudukan bayi songsang: Apabila bayi berada dalam kedudukan songsang, LSCS selalunya menjadi pilihan terbaik untuk mengelakkan ‘kepala terperangkap’ atau ‘kejatuhan tali pusat’ (tali pusat keluar dari rahim) sekiranya pesakit bersalin normal.

4. Kelahiran kembar: Kembar boleh dilahirkan secara normal bergantung pada kedudukan bayi, anggaran berat dan usia kehamilan. Lazimnya, bayi kembar dua, tiga atau lebih akan disyorkan LSCS oleh doktor untuk mengelakkan komplikasi.

5. Kecacatan kongenital: Seandainya bayi didiagnosis mengalami kecacatan kongenital, LSCS mungkin dilakukan untuk membantu mengurangkan komplikasi lanjut ketika kelahiran demi keselamatannya.

6. Penyakit herpes: Seandainya ibu menghidap wabak herpes aktif (penyakit kelamin), LSCS dijadualkan untuk mencegah bayi daripada terdedah kepada virus ketika melalui saluran kelahiran.

7. Diabetes: Jika anda menghidap kencing manis ketika hamil, anda mungkin mempunyai bayi besar atau komplikasi lain. Ini meningkatkan peluang anda untuk pembedahan elektif.

Pembedahan kecemasan:

1. Denyutan jantung janin menjadi lemah: Penyebab utama ialah kekurangan bekalan oksigen yang mencukupi untuk bayi. Bayi juga mungkin sudah mengeluarkan najis ketika masih di dalam rahim ibu lagi.

2. Disproposi sefalopelvis (CPD): Diagnosis benar CPD berlaku apabila kepala bayi terlalu besar atau pelvis ibu terlalu kecil untuk bayi dilahirkan melepasi tulang pelvis. Masalah kedua ialah ‘pembukaan yang perlahan’ apabila pangkal rahim tidak membuka seperti yang diharapkan.

3. Abrupsi plasenta: Ini adalah pemisahan plasenta daripada lapisan rahim yang biasanya berlaku dalam trimester ketiga. Kira-kira satu peratus wanita hamil mengalami gangguan plasenta. Ibu akan mengalami pendarahan dan kesakitan pada rahim. Pemisahan ini boleh mengganggu bekalan oksigen kepada bayi dan bergantung pada keparahan, LSCS kecemasan mungkin dilakukan.

4. Rahim pecah: Dalam satu daripada setiap 1,500 kelahiran, rahim koyak ketika kehamilan atau ketika sakit bersalin. Ini boleh menyebabkan pendarahan pada ibu dan mengganggu bekalan oksigen kepada bayi.

5. Tali pusat jatuh: Keadaan ini jarang berlaku tetapi sekiranya ia berlaku, kelahiran kecemasan dilakukan. Tali pusat jatuh terjadi apabila pusarnya melewati serviks dan menonjol dari faraj sebelum bayi dilahirkan terutama jika bayi dalam keadaan songsang atau melintang. Apabila kontraksi pada rahim berlaku, ia menyebabkan tekanan pada tali pusat, yang menjejaskan aliran darah kepada bayi.

6. Praeklampsia: keadaan membabitkan tekanan darah tinggi ketika hamil. Keadaan ini boleh mencegah plasenta daripada mendapatkan jumlah darah yang diperlukan dan mengurangkan aliran oksigen kepada bayi. LSCS kadangkala disyorkan sebagai pilihan terbaik dalam situasi sebegini.

Walaupun kebanyakan wanita tidak merancang menjalani pembedahan Caesar, ia langkah yang baik untuk mempersiapkan diri sekiranya prosedur ini diperlukan. Dapatkan nasihat doktor dan sokongan ahli keluarga atau rakan yang pernah mengalami LSCS untuk meyakinkan anda supaya bersedia dari segi minda dan jasmani.

Apa yang perlu diutamakan ialah keselamatan anda dan bayi. Kemajuan teknologi perubatan menjadikan kehamilan dan kelahiran lebih selamat berbanding situasi 50 tahun lalu.

Ujian saringan dan diagnostik awal yang dilakukan dapat mengesan kecacatan kelahiran dan bahkan, jantina lebih awal daripada sebelumnya, secara langsung memberikan pilihan kepada wanita meneruskan kehamilan mereka dan memiliki lebih banyak waktu mempersiapkan diri untuk proses kelahiran.

Dengan keupayaan teknologi moden mengawasi bayi sepanjang kontraksi pada saat kelahiran, doktor boleh bertindak balas dengan cepat seandainya berlaku penurunan dalam denyutan jantung bayi, atau menunjukkan tanda-tanda komplikasi lain yang boleh meninggikan risiko kelahiran.

Insiden bayi maut ketika dilahirkan sangat jarang didengar dengan keupayaan kepakaran doktor, jururawat dan teknologi canggih membolehkan bayi dilahirkan dengan sempurna walaupun ada masalah ketika kelahiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 12:00 AM