FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
NASIR Kareem, (baju biru) menyampaikan sumbangan kepada ibu bersalin pada Program Sambutan Bayi Merdeka di Pusat Rawatan Ibu Dan Anak (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). FOTO NAzdy Harun
NASIR Kareem, (baju biru) menyampaikan sumbangan kepada ibu bersalin pada Program Sambutan Bayi Merdeka di Pusat Rawatan Ibu Dan Anak (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). FOTO NAzdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Pelbagai alasan dicipta keluarga atau waris selepas lewat membuat pendaftaran kelahiran anak-anak atau waris tanggungan mereka.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu Mohamad Nasir Kareem berkata, untuk rekod, daripada Januari hingga Julai lalu, 232 kes kelewatan daftar kelahiran direkodkan di negeri ini.

Menurutnya, jika dilihat, rekod berkenaan mungkin agak tinggi namun pelbagai alasan dicipta seperti tiada pengangkutan dan masalah kewangan.

"Ia alasan paling popular diberikan kerana melewatkan pendaftaran kelahiran. Tempoh dua bulan atau 60 hari diperuntukkan buat ibu bapa atau waris mendaftar anak atau tanggungan mereka namun ada yang membuat pendaftaran melebihi tempoh itu.

"Ada yang lebih setahun atau mendaftar pada tahun-tahun berikutnya. Biasanya, alasan yang dikemukakan golongan terbabit ialah pengangkutan serta kewangan," katanya ditemui pada Program Sambutan Bayi Merdeka di Pusat Rawatan Ibu Dan Anak (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Menurut beliau, masalah itu lebih meruncing apabila kanak-kanak berkenaan hendak mendaftar sekolah namun tidak boleh berbuat demikian kerana ketiadaan dokumen kelahiran.

Katanya, pihaknya kini giat menjalankan pelbagai kempen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk segera melakukan pendaftaran kelahiran.

"Kesukaran terutama dalam proses pengebumian juga timbul kerana kami tidak boleh mengeluarkan sijil kematian berikutan si mati tiada sijil kelahiran.

"Pernah berlaku satu kes pada 2010 yang mana seorang individu mendaftar kelahiran pada usia 60-an. Walaupun berdepan pelbagai kesulitan namun kami tetap berusaha memproses permohonan itu sehingga berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 11:23 AM