BANGUNAN Capitol. FOTO AFP
BANGUNAN Capitol. FOTO AFP
Agensi

Washington: Seorang anggota polis maut, manakala seorang lagi cedera dan kini mendapat rawatan di hospital susulan serangan di bangunan Capitol, Washington DC, Amerika Syarikat (AS).

BBC News memetik kenyataan jurucakap polis melaporkan, kejadian berlaku selepas sebuah kereta merempuh pengawal keselamatan.

Pemandu terbabit kemudian meluru ke arah petugas dengan membawa pisau.

Pegawai polis bertugas kemudiannya melepaskan tembakan dan suspek mati ditembak.

Menurut pihak berkuasa, serangan itu berlaku tiga bulan selepas rusuhan Capitol pada Januari lalu, namun tiada hubung kait dengan keganasan.

"Sama ada serangan itu dilakukan oleh penguat kuasa undang-undang atau sesiapa pun, kita ada tanggungjawab untuk mengesan mereka yang terbabit," kata pemangku Ketua Jabatan Polis Metropolitan Washington DC, Robert Contee kepada pemberita pada sidang media.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Capitol Yogananda Pittman dengan berat hati mengumumkan ada pegawainya yang cedera susulan insiden berkenaan.

Yogananda berkata, pegawai itu adalah William "Billy" Evans, yang berkhidmat di Polis Capitol selama 18 tahun dan sebahagian daripada unit responden pertama jabatan itu.

"Tolong doakan Evans dan keluarganya," katanya.

Dua sumber yang terbabit dalam siasatan memberitahu CBS News bahawa suspek dalam serangan itu adalah Noah Green yang berusia 25 tahun dari Indiana.

Namun, sumber itu memaklumkan mereka tidak menemui rekod suspek dalam pangkalan data polis.

Pada 6 Januari lalu, penyokong Donald Trump menyerang bangunan Capitol.

Mereka mencederakan seorang anggota polis, merosakkan perabot serta memaksa ahli politik melarikan diri untuk bersembunyi ketika upacara bagi mengesahkan kemenangan Joe Biden sebagai presiden baharu.

Tindakan itu susulan ucapan Trump yang mendakwa Biden 'mencuri" kemenangannya dan mereka (penyokong) perlu berarak ke Capitol dan menunjukkan 'kekuatan'.

Seorang peserta perhimpunan mati ditembak dan tiga lagi meninggal dunia, manakala seorang anggota polis Capitol turut maut akibat kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 10:17 AM