TRUMP. FOTO Arkib EPA
TRUMP. FOTO Arkib EPA
BERNAMA

Washington: Jawatankuasa Kongres yang dipilih menyiasat rusuhan Capitol tahun lepas mengundi pada Khamis untuk mengemukakan sepina kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor Xinhua.

"Beliau dikehendaki untuk menjawab tindakannya," kata Ahli Kongres Demokrat Bennie Thompson, pengerusi panel sembilan ahli, dalam pendengaran awam ke-10 petang Khamis.

Jawatankuasa itu berhujah bahawa anggota parti Republikan itu terlibat secara langsung dalam usaha untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden 2020, selepas beliau tewas kepada Joe Biden dari parti Demokrat.

Trump mengecam undian sebulat suara daripada panel untuk memanggilnya bagi mendapatkan dokumen dan keterangan.

"Mengapa Jawatankuasa itu tidak meminta saya memberi keterangan beberapa bulan lalu?" tulisnya di platform media sosialnya, Truth Social dan menyifatkannya sebagai "kesilapan besar."

Pada 6 Januari 2021, beribu-ribu individu yang kebanyakannya penyokong Trump menyerbu Capitol di Washington, D.C., dan mengganggu sesi Kongres untuk mengesahkan keputusan pilihan raya presiden 2020.

Kira-kira 140 anggota polis telah diserang. Pihak berkuasa mengaitkan sekurang-kurangnya lima kematian berikutan kekecohan itu.

Ia serangan terburuk ke atas Kongres AS dalam tempoh lebih 200 tahun dan membawa kepada pendakwaan kedua Trump oleh Dewan Perwakilan sejurus sebelum penggalnya tamat secara rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 4:07 PM