JOE Biden. FOTO AFP
JOE Biden. FOTO AFP
AFP

Washington: Perlumbaan untuk menentukan presiden baharu Amerika Syarikat (AS) menghampiri garisan penamat apabila calon Parti Demokrat, Joe Biden mengumumkan 'tidak ragu-ragu' akan menewaskan Presiden Donald Trump.

Perhatian kini tertumpu ke Pennsylvania yang akan menjadi medan penentuan sama ada Biden memperoleh undi majoriti untuk ke Rumah Putih.

Bagaimanapun, selepas dua hari pilihan raya paling sengit sejak beberapa dekad lalu di AS itu berlangsung, proses pengiraan undi masih berjalan kerana jumlah undi pos yang tinggi.

Ia berikutan orang ramai memilih kaedah berkenaan yang dilihat lebih selamat untuk mengundi calon pilihan mereka berikutan penularan Covid-19.

Sesetengah negeri membenarkan undi pos yang tiba sebelum atau pada hari pengundian iaitu 3 November untuk dikira.

Ketika ini, Biden, 77, hanya perlu menang satu atau dua negeri yang dilihat sebagai medan pertempuran paling sengit atau battleground state bagi membolehkan beliau ke Rumah Putih.

Trump, 74, sebaliknya memerlukan kemenangan di beberapa negeri itu untuk kekal berkuasa.

Dalam pada itu, Biden ketika memberitahu pemberita di Wilmington, Delaware berkata: "Kami terus berasa selesa. Kita tidak sangsi bahawa apabila undi selesai dikira, saya dan Senator Kamala Harris akan diumumkan sebagai pemenang."

Dalam pada itu, Trump yang mengejutkan dunia apabila menang pilihan raya pada 2016 menyatakan rasa tidak puas hati dan mendakwa berlaku penipuan pada pengundian kali ini.

Beliau turut mendesak supaya pengiraan undi pos di negeri yang dilihat memihak kepada Biden supaya dihentikan serta-merta dan menuntut pengiraan semula.

Trump yang muncul kali pertama dalam sidang media di Rumah Putih pada malam Khamis turut mengulangi dakwaan bahawa kemenangannya dirampas oleh Biden.

"Mereka cuba mencuri pilihan raya ini," kata Trump dalam kenyataan luar biasa pada sidang media.

Bagaimanapun, presiden itu tidak mengemukakan apa-apa bukti bagi menyokong dakwaannya dan tidak mahu melayan soalan daripada pemberita pada sidang media berkenaan.

Sebaliknya, Trump menggunakan tempoh 17 minit pada sidang media itu untuk 'menyerang' proses demokrasi negara, sesuatu yang tidak pernah didengar daripada mana-mana presiden AS.

Ini adalah penampilan pertama Trump memandangkan beliau sebelum ini hanya menyepi dan memilih untuk mengeluarkan kenyataan bertulis sejak malam Selasa lalu.

Biden, yang berazam untuk memulihkan negara itu daripada masalah polarisasi yang dilakukan Trump sejak empat tahun berkuasa dalam pada itu meminta supaya 'rakyat kekal bertenang.'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 6:59 AM