Reuters

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan saingannya, mantan presiden, Donald Trump masing-masing pada Selasa mendapat pencalonan mencukupi daripada perwakilan parti mereka untuk dipilih sebagai calon untuk Pilihan Raya Presiden AS 2024.

Ia sekali gus menyaksikan pertandingan ulangan untuk calon sama untuk Pilihan Raya Presiden, pertama dalam tempoh 70 tahun.

Biden memerlukan 1,968 undi perwakilan untuk memenangi pencalonan Parti Demokratik dan beliau melepasi jumlah itu pada 12 Mac.

Beberapa jam kemudian, Trump pula berhasil mendapatkan 1,215 undi perwakilan yang diperlukan untuk mendapat pencalonan presiden bagi Parti Republikan.

Biden, 81, mengeluarkan kenyataan setelah memperoleh pencalonan Parti Demokrat, dengan menyasarkan apa yang disebutnya sebagai 'kempen kebencian, dendam dan pembalasan yang mengancam idea Amerika'.

Pertandingan ulangan antara calon presiden sama hanya berlaku pada 1956, apabila Presiden daripada Parti Republikan, Dwight Eisenhower mengalahkan bekas Gabenor Illinois Adlai Stevenson, seorang Demokrat, untuk kali kedua.

Tahun ini, pengundi menyatakan sedikit semangat untuk mengulangi pilihan raya 2020, dengan tinjauan umum Reuters/Ipsos menunjukkan Biden dan Trump tidak popular dengan majoriti pengundi.

Trump berdepan pelbagai tuduhan jenayah Trump dengan 91 pertuduhan jenayah merentasi empat dakwaan berasingan dan ia boleh menjejaskan kedudukannya dalam kalangan pengundi di pinggir bandar yang berpendidikan tinggi.

Beliau bakal menjadi bekas presiden AS pertama yang dibicarakan dalam kes jenayah di New York, 25 Mac ini, di mana dia menghadapi tuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menyembunyikan pembayaran wang untuk 'menutup mulut' bintang lucah.

Kes paling serius terhadap Trump adalah dakwaan persekutuan di Washington, yang mana beliau dituduh merancang untuk membatalkan pilihan raya 2020.

Tetapi kes itu ditangguhkan selepas Mahkamah Agung AS bersetuju untuk mendengar tuntutan Trump mengenai kekebalan presiden, dan tidak jelas sama ada perbicaraan boleh dilakukan sebelum hari pengundian.

Biden pula mungkin dianggap terlalu tua bagi menjadi presiden untuk penggal kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 1:20 PM
DONALD Trump (kiri) dan Joe Biden. FOTO AFP
DONALD Trump (kiri) dan Joe Biden. FOTO AFP