FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

La Paz: Terpengaruh dengan watak Spiderman, seorang kanak-kanak membiarkan labah-labah hitam menggigit tangannya, dengan harapan dia berubah menjadi adi wira.

Insiden itu berlaku di bandar Vichuloma, Oruro, Bolivia, baru-baru ini, lapor agensi berita Sepanyol EFE dan bolivia.com.

Ketua Program Penyakit Zoonotik Jabatan Kesihatan Oruro, Ernesto Vasquez berkata, kanak-kanak lelaki yang berusia lapan tahun itu menemui labah-labah hitam di bawah batu, sebelum membiarkan haiwan itu menggigit dirinya.

"Tanpa memikirkan risiko, dia mengambil dan meletakkannya di belakang tapak tangannya sebelum labah-labah itu menggigitnya.

"Selepas itu, dia menyimpan haiwan itu di dalam gelas dan membawa pulang ke rumah, namun tiga jam kemudian, dia mula rasa sakit badan dan ototnya seperti kejang," katanya.

Katanya, ibunya membawa ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Besar San Juan de Dios di bandar Oruro.

"Pemeriksaan lanjut mendapati dia digigit labah-labah hitam sebelum doktor memberikannya ubat antiracun dan keadaannya stabil, kira-kira setengah jam selepas mendapat rawatan.

"Kami amat bimbang apabila kanak-kanak itu memberitahu dia membiarkan digigit labah-labah itu dengan tujuan mahu menjadi Spiderman.

"Ibu bapa harus mendidik anak mengenai bahaya haiwan ini, kerana jika tidak dirawat segera, labah-labah ini boleh mengancam nyawa," katanya.

Kisah asal usul Spiderman menjadi bualan kanak-kanak apabila ia memaparkan watak pelajar sekolah menengah, Peter Parker mendapat kebolehan luar biasa sebagai Spiderman, selepas digigit labah-labah.

Labah-labah hitam antara spesies araknid berbisa dalam kumpulan spesies Latrodectus.

Dalam kebanyakan kes, labah-labah betina mempunyai ciri khas berwarna merah kemerahan, tanda berbentuk jam pasir di bahagian bawah perut mereka.

Labah-labah ini ditemukan di setiap benua, kecuali di Antartika.

Racun labah-labah ini mengandungi neurotoksin yang dikenali sebagai alpha latrotoxin yang boleh menjejaskan sistem saraf,

Ia boleh menyebabkan gejala seperti sakit, kemerahan dan bengkak di sekitar bahagian gigitan, kekejangan perut, loya dan muntah dan berpeluh.

Individu yang digigit selalunya tidak mengalami sebarang komplikasi serius, walaupun mereka mungkin mengalami tahap ketidakselesaan yang berbeza-beza, dan mungkin memerlukan rawatan perubatan dalam kes lebih teruk.

Namun, dalam kes yang sangat jarang berlaku, gigitan sesetengah spesies ini mengakibatkan kematian disebabkan gangguan teruk isyarat saraf dalam badan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 12:32 PM