ULSER pada lengan remaja yang menyuntik merkuri. FOTO NCBI
ULSER pada lengan remaja yang menyuntik merkuri. FOTO NCBI
Agensi

Washington: Gara-gara terpengaruh dengan watak dalam siri komik Marvel, seorang remaja sanggup menyuntik dirinya dengan merkuri.

Remaja lelaki itu juga sebelum ini dilaporkan pernah sengaja membiarkan labah-labah menggigitnya supaya dia boleh bertukar menjadi Spiderman.

Kes remaja berusia 15 tahun itu direkodkan dalam Pusat Kebangsaan untuk Maklumat Bioteknologi (NCBI) berpangkalan di Maryland, Amerika Syarikat.

Laporan itu menyebut, remaja itu bernasib baik kerana tidak keracunan selepas cubaan mendapatkan 'kuasa' seperti adiwira.

Menurut pegawai perubatan, remaja itu menggunakan merkuri didapati dalam termometer dan menyuntik lengannya tiga kali.

Kanak-kanak itu seperti dilaporkan dalam Daily Mirror mengaku, dia terpengaruh dengan karektor Mercury dalam komik X-Men dan X-Men Wolverine terbitan Marvel.

Laporan itu mengesahkan, tindakan itu menyebabkan pembentukan ulser pada lengan remaja itu yang disahkan menerusi ujian biopsi.

"Menariknya, dia ada sejarah beberapa gigitan labah-labah sebelum ini yang difikirkan mampu mengubahnya menjadi Spiderman.

"Prosedur pembedahan berjaya dilakukan untuk merawat ulser dan membuang merkuri dalam darah serta air kencing remaja itu.

"Namun, pesakit tidak mengalami tanda klinikal keracunan kronik yang menunjukkan suntikan merkuri mempunyai risiko keracunan sistemik yang rendah," kata laporan itu.

Laporan itu berkata, suntikan merkuri pada kulit yang disengajakan oleh kanak-kanak dan remaja sihat, adalah jarang berlaku.

"Peliknya, dia tidak ada masalah mental dan mempunyai tahap IQ yang normal.

"Kebiasaannya tindakan seperti ini dilakukan mereka yang cuba membunuh diri kerana tekanan perasaan," katanya.

IMEJ menunjukkan merkuri dalam sel badan remaja itu. FOTO NCBI
IMEJ menunjukkan merkuri dalam sel badan remaja itu. FOTO NCBI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 6:10 AM