LABAH-labah spesis Giant European Wolf.
LABAH-labah spesis Giant European Wolf.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Minatnya terhadap haiwan berbisa seperti labah-labah spesies tarantula dan kala jengking timbul selepas menonton siri dokumentari di National Geographic sejak kecil lagi. Sejak itu, Zalhasrah Ahmad Fathillah, 27, mula mencari maklumat berkaitan kerana tertarik untuk mempelajari perwatakan dan keistimewaan bisa haiwan berkenaan.

Kata Zalhasrah, minat itu menjadi lebih mendalam selepas suaminya, Goh Soon Heng, membelikannya seekor tarantula daripada spesies Tiger Rump (Davus Pentolaris), iaitu haiwan pertama yang dimilikinya.

Kini, selepas tiga tahun, anak jati Rembau, Negeri Sembilan itu memiliki lebih 50 ekor haiwan yang merangkumi pelbagai spesies berbisa seperti tarantula, labah-labah Huntsman (Heteropoda sp.), labah-labah Trapdoor dan beberapa spesies kala jengking.

"Selain itu, saya turut memelihara beberapa jenis haiwan reptilia dan amphibia yang tidak berbisa seperti Leopard Gecko, Bearded Dragon, ular sawa Bebola, ular jagung, dan katak White Tree .

"Haiwan berbisa menjadi pilihan disebabkan keistimewaan bisa yang dikeluarkannya walaupun ia diakui boleh mendatangkan bahaya kepada manusia.

"Berdasarkan pembacaan, saintis yang menjalankan penyelidikan mengenai manfaat sesetengah bahan aktif di dalam bisa daripada sesetengah spesies Arachnida seperti Funnel Web Spider (Macrothele revani) atau Deathstalker scorpion(Leiurus quinquestriatus) mendapati ia boleh diguna utk merawat penyakit kanser seperti leukemia, " katanya kepada Harian Metro.

ZALHASRAH dan suaminya bersama haiwan berbisa yang dibela.
ZALHASRAH dan suaminya bersama haiwan berbisa yang dibela.

Menurut Zalhasrah, antara spesies haiwan berbisa paling susah ditemui yang ada dalam koleksinya adalah labah-labah Six Eyed Sand (sicarius thomisoides) dan labah-labah Chinese Hourglass Trapdoor (Cyclocosmia Ricketti).

Katanya, di antara semua haiwan itu, Chinese Hourglass Trapdoor yang menjadi haiwan kesayangannya kerana coraknya yang unik.

"Ia adalah sejenis labah-labah yang hanya mempunyai corak unik di bahagian abdomen.

"Jika sekali pandang, coraknya tidak ubah seperti bentuk biskut coklat bulat," katanya.

KATAK spesis White Tree juga dibela Zalhasrah.
KATAK spesis White Tree juga dibela Zalhasrah.

Jelas Zaihasrah lagi, meskipun penjagaan haiwan berbisa itu tidak susah namun agak rumit kerana sesetengah spesies tarantula atau labah-labah misalnya memerlukan kawasan yang bersuhu sejuk iaitu antara 24 hingga 27 darjah Celsius.

Untuk itu, semua haiwan yang dipeliharanya ditempatkan dalam bilik khas yang mempunyai pendingin hawa.

"Ini kerana kawasan tempat tinggal haiwan terbabit juga perlu berkelembapan tinggi iaitu sekitar 50 hingga 80 peratus.

"Dari segi pemakanan pula, haiwan terbabit diberi makan lipas Turkistan antara dua hingga lima kali seminggu bergantung kepada saiznya.

TARANTULA dan kala jengking diberi makan lipas Turkistan  antara dua hingga lima kali seminggu bergantung kepada saiznya.
TARANTULA dan kala jengking diberi makan lipas Turkistan antara dua hingga lima kali seminggu bergantung kepada saiznya.

"Secara keseluruhan, kos penjagaan semua haiwan itu adalah antara RM100 hingga RM300 sahaja sebulan," katanya.

Dalam pada itu Zalhasrah berkata, dia sentiasa mengutamakan keselamatan dan berhati-hati ketika mengendalikan haiwan terbabit.

Katanya, dia tidak akan sesekali memegang haiwan itu secara terus kerana turut mempunyai alahan kepada bulu tarantula (urticating hairs).

"Bagi yang berminat untuk membela haiwan berbisa seperti ini, apa yang perlu dilakukan ialah memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa anda membela haiwan berbisa.

"Selain itu, sentiasa berhati-hati dan hendaklah mendapatkan info berkaitan haiwan berbisa itu terlebih dahulu sebelum membelanya.

"Ini kerana membela haiwan berbisa adalah bahaya dan tidak sesuai dipegang atau dibelai selain hanya dapat dihargai dari luar tempat simpanannya sahaja," katanya.

LABAH-labah spesis Heteropoda davidbowie.
LABAH-labah spesis Heteropoda davidbowie.

Sementara itu, Zalhasrah juga mengakui dia tidak akan menjual haiwan peliharaannya itu meskipun jika ada yang berminat untuk membelinya.

Ini adalah kerana kebanyakan spesies yang dimilikinya adalah jenis yang sangat berbisa.

"Ia merbahaya dan tidak bersesuaian untuk golongan yang tidak berpengalaman khasnya individu yang tidak membuat sebarang bacaan sebelum membuat keputusan untuk membela haiwan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 7:00 AM