FOTO menunjukkan individu dijangkiti cacar monyet. FOTO AFP
FOTO menunjukkan individu dijangkiti cacar monyet. FOTO AFP
AFP

Buenos Aires: Argentina mengesahkan pada Jumaat, kes cacar monyet pertama yang diketahui di Amerika Latin.

Laporan akhbar tempatan mengatakan pesakit adalah seorang lelaki berusia 40 tahun yang baru pulang dari Sepanyol, di mana dua hari lalu kerajaan itu melaporkan 59 kes.

"Keputusan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) bagi kes pertama yang disyaki cacar monyet adalah positif," kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan.

Pekerja penjagaan kesihatan sedang merawat simptom pesakit, kata kenyataan itu, sementara kontak rapatnya, yang tidak menunjukkan gejala, sedang dipantau.

Kementerian kesihatan juga mendedahkan bahawa seorang penduduk Sepanyol yang sedang melawat Argentina serta tidak mempunyai kaitan dengan pesakit lain, adalah kes kedua yang disyaki.

"Orang itu mempunyai lesi ulser dan tanpa gejala lain yang berkaitan," kata kementerian itu.

Cacar monyet berasal daripada virus berjangkit dan boleh disebarkan kepada manusia oleh haiwan yang dijangkiti.

Penularan daripada manusia kepada manusia juga mungkin, tetapi jarang berlaku.

Gejala awal termasuk demam panas, nodus limfa bengkak dan ruam seperti cacar air.

Tiada rawatan khusus tetapi vaksinasi terhadap cacar didapati kira-kira 85 peratus berkesan dalam mencegah cacar monyet.

Cacar monyet pertama kali dikesan di Republik Demokratik Congo pada tahun 1970 dan dianggap endemik di kira-kira 12 negara Afrika.

Kemunculannya di negara bukan endemik membimbangkan pakar, walaupun kes yang dilaporkan setakat ini kebanyakannya ringan dan tiada kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 10:04 AM