KANAK-KANAK menerima suntikan vaksin the Pfizer-BioNTech  di sebuah klinik di Sao Paulo, Brazil. AFP
KANAK-KANAK menerima suntikan vaksin the Pfizer-BioNTech di sebuah klinik di Sao Paulo, Brazil. AFP
AFP

Sao Paulo: Brazil mula melaksanakan vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun semalam selepas langkah itu diluluskan, meskipun ada bantahan daripada Presiden Jair Bolsonaro.

Davi Seremramiwe Xavante, kanak-kanak lelaki Orang Asli berusia lapan tahun adalah yang pertama diberi vaksin ketika program rasmi di hospital Sao Paulo bersama Gabenor negeri Joao Doria hadir.

Dos vaksin Covid-19 pertama kepada rakyat di negara itu juga diberikan di Sao Paulo, pada Januari tahun lalu.

Kumpulan usia baharu itu diluluskan untuk vaksinasi oleh pihak berkuasa kesihatan Anvisa sebulan yang lalu.

Lebih daripada 20 juta kanak-kanak layak menerima vaksin Pfizer/BioNTech, asalkan mereka mendapat kebenaran ibu bapa.

Orang asli dan kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan antara yang diberi keutamaan untuk vaksinasi.

Bagaimanapun, Bolsonaro berulang kali mengkritik tindakan itu dan menegaskan dia tidak akan sekali-kali memberi vaksin kepada anak perempuannya berusia 11 tahun, Laura.

Bolsonaro sendiri yang tidak divaksin mencetuskan kekecohan apabila dia meminta nama mereka yang bertanggungjawab meluluskan langkah itu didedahkan kepada umum.

Sebuah persatuan yang mewakili Anvisa mengecam 'kaedah fasis' Bolsonaro dan pihak berkuasa itu menuntut polis melindungi kakitangannya berikutan ancaman itu.

Menurut angka rasmi Kementerian Kesihatan negara itu, lebih 300 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun meninggal dunia akibat Covid, sebahagian daripada 620,000 kematian sejak penularan virus itu.

Jumlah kes baharu kembali meningkat di Brazil berikutan kemunculan varian Omicron pada akhir November lalu.

Kes baharu harian negara itu kelmarin di bawah 100,000 kes, kurang daripada 6,000 kes berbanding dua minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 12:17 PM