GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

London: Kerajaan England akan menawarkan vaksin Covid-19 kepada bayi berusia lebih enam bulan dan kanak-kanak di bawah lima tahun buat kali pertama, lapor The National.

Kanak-kanak yang terdedah secara klinikal berusia antara enam bulan hingga empat tahun harus ditawarkan suntikan itu, kata Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI).

Walaupun kanak-kanak berisiko rendah untuk mendapat jangkitan teruk akibat wabak itu, namun mereka yang mempunyai masalah kesihatan adalah tujuh kali ganda berkemungkinan dimasukkan ke unit rawatan rapi kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Covid-19 JCVI, Prof Wei Shen Lim berkata, Covid-19 hanya menyebabkan gejala ringan atau tiada gejala bagi kebanyakan bayi dan kanak-kanak yang dijangkiti.

"Bagaimanapun, segelintir kanak-kanak dengan komorbiditi boleh membawa kepada penyakit lebih serius. Vaksinasi adalah cara terbaik meningkatkan perlindungan kepada mereka," katanya.

Ketua Imunisasi Agensi Keselamatan Kesihatan UK, Dr Mary Ramsay berkata, Covid-19 masih wujud dengan ribuan kes baharu dilaporkan setiap minggu.

"Perlindungan tambahan yang ditawarkan mungkin penting untuk kanak-kanak dalam kumpulan berisiko.

"Virus ini tidak akan hilang, jadi saya menggalakkan semua ibu bapa membawa anak mereka yang layak untuk mendapatkan suntikan vaksinasi," katanya.

Lebih satu juta kanak-kanak berusia enam bulan sehingga empat tahun di Amerika Syarikat (AS) menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan Pfizer-BioNTech Covid-19 sejak Jun 2022.

Data dari AS menunjukkan kesan sampingan paling biasa dilaporkan serupa dengan vaksin lain dalam kumpulan umur itu seperti mengantuk dan demam.

Agensi Pengawalseliaan Produk Ubat dan Kesihatan di UK membenarkan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun pada Disember tahun lalu.

Susulan kebenaran itu, JCVI menasihatkan supaya kanak-kanak berisiko dalam kumpulan umur itu ditawarkan vaksinasi.

Kanak-kanak yang layak perlu ditawarkan dua dos vaksin dengan sela masa lapan hingga 12 minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 11:31 AM