KANAK-kanak menerima vaksin polio percuma di Quezon City, Metro Manila, Filipina.
KANAK-kanak menerima vaksin polio percuma di Quezon City, Metro Manila, Filipina.
Agensi

Kinshasa: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran dunia kini berdepan detik bahaya apabila penyakit polio kembali muncul.

Pegawai Kanan WHO berkata, ketika ini usaha sedang bermula untuk memberikan vaksinasi kepada 23 juta kanak-kanak di lima negara Afrika selepas wabak itu muncul di Malawi.

Pada Februari lalu, Malawi mengisytiharkan kes pertama poliovirus liar dalam tempoh 30 tahun apabila kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari daerah Lilongwe lumpuh akibat jangkitan penyakit itu.

Kes itu menimbulkan kebimbangan kerana Afrika diisytiharkan bebas polio liar pada 2020 dan hanya terdapat dua negara di dunia yang diisytiharkan endemik iaitu Afghanistan dan Pakistan.

Pakistan menunjukkan setahun tanpa kes pada Januari lalu.

Penyelaras Polio WHO Afrika, Modjirom Ndoutabe berkata, walaupun kes berkenaan hanya berlaku di satu negara, namun negara lain turut berdepan masalah besar.

Katanya, pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan memperlahankan usaha untuk memberi vaksinasi penyakit seperti polio kepada kanak-kanak.

"Ini adalah saat yang berbahaya," katanya kepada Reuters dalam satu temu bual telefon dari Brazzaville, Republik Congo.

Perkara itu diakui Ketua Eksekutif Perikatan Vaksin Gavi, Seth Berkley yang menjelaskan, perkhidmatan imunisasi kanak-kanak di 68 negara yang disokong mereka menurun sebanyak 4 peratus pada 2020.

Katanya, jumlah itu mewakili 3.1 juta lagi kanak-kanak yang mungkin tidak dilindungi daripada penyakit seperti polio, difteria dan campak, manakala tiga juta lagi di bawah umur yang diimunisasi berbanding 2019.

Dalam usaha untuk menghalang penyebaran baharu di Afrika, hampir 70,000 vaksin diberikan dari rumah ke rumah di Malawi, Mozambique, Tanzania, Zambia dan Zimbabwe untuk semua kanak-kanak di bawah umur lima tahun vaksin polio oral dalam kempen AS$15.7 juta (RM65.8 juta) yang dibiayai oleh Global Inisiatif Pembasmian Polio, kata WHO dalam satu kenyataan.

Di Malawi, di mana liputan vaksin polio adalah tinggi melebihi 90 peratus di kebanyakan daerah kadar semasa wabak menurun sebanyak dua peratus menurut Ketua WHO Malawi, Janet Kayita.

Kayita berkata, pusingan pertama vaksinasi bermula pada esok dan akan menyasarkan lebih daripada sembilan juta kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 7:30 AM