Foto hiasan
Foto hiasan
Agensi

Melbourne: Pengawal perubatan Australia semalam memberikan kelulusan buat sementara waktu bagi vaksin Pfizer digunakan untuk kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun, dengan berkata pelancarannya mungkin bermula pada 10 Januari tahun hadapan.

"Penilaian menyeluruh dan teliti sudah dibuat dan mendapatinya selamat dan berkesan, adalah penting kanak-kanak dan rakyat Australia divaksin," kata Menteri Kesihatan Australia Greg Hunt.

Selepas penangguhan awal dalam program vaksinasi Covid-19, Australia dengan pantas menjadi negara dengan jumlah penduduk sudah divaksin tertinggi di dunia, dengan data kesihatan menunjukkan hampir 88 peratus warga Australia berusia 16 tahun dan ke atas sudah menerima dua dos vaksin.

Kadar vaksinasi tinggi itu membantu memperlahankan penularan virus dan menggalak pemulihan ekonomi yang pantas, dengan pemerintah negara itu merancang meningkatkan ramalan pertumbuhan bagi 2022 dalam beberapa minggu.

Keberkesanan vaksin terhadap varian Omicron yang sedang menular di Australia, bagaimanapun belum diketahui.

Negeri dengan paling ramai penduduk, New South Wales melaporkan dua lagi kes Omicron semalam, menjadikan jumlah kes keseluruhan mencapai 15 kes dan wilayah ibu kota Australia pula mengesahkan kes keduanya.

Dewan Parlimen di Canberra ditutup pada hujung minggu kepada orang awam sehingga diberitahu kelak selepas seorang kakitangan kepada anggota Parlimen, Adam Bandt diuji positif bagi Covid-19 selepas minggu persidangan terakhir badan perundangan itu untuk tahun ini pada Jumaat lalu.

Varian kes jangkitannya belum didedahkan, namun pihak berkuasa berkata, kakitangan itu sudah divaksin sepenuhnya.

Walaupun vaksinasi seluruh negara itu dilakukan secara sukarela, kebanyakan negeri dan wilayah di Australia menjadikan vaksinasi wajib bagi banyak pekerjaan dan ada juga yang memerlukan vaksinasi penuh untuk mengakses kebanyakan khidmat hospitaliti dan runcit tidak penting.

Penyokong antivaksin berada dalam angka tunggal di Australia, menurut tinjauan pandangan, walaupun mereka telah mengadakan perhimpunan setiap minggu terhadap langkah penjagaan kesihatan di sini, dan bandar lain.

Kadar perlindungan imunisasi kanak-kanak keseluruhan Australia juga antara yang tertinggi di dunia, dengan 95 peratus kanak-kanak berusia lima tahun sudah menerima vaksin yang disarankan bagi usia mereka, menurut data kesihatan.

Vaksin Pfizer bagi kanak-kanak masih memerlukan kelulusan Kumpulan Penasihat Teknikal Australia mengenai imunisasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 11:41 AM