MASON (kiri) menggantikan Ratu Elizabeth II sebagai ketua negara kepada Barbados. FOTO fail AFP
MASON (kiri) menggantikan Ratu Elizabeth II sebagai ketua negara kepada Barbados. FOTO fail AFP
Agensi

Bridgetown: Barbados secara rasmi menjadi republik terbaharu di dunia, sekali gus mengakhiri era pemerintahan Ratu Elizabeth II.

Ia selepas negara itu memberi mandat kepada presiden baharu.

BBC melaporkan Dame Sandra Mason mengangkat sumpah sebagai presiden dalam satu majlis di ibu negara.

Putera Wales, Putera Charles dan penyanyi terkenal kelahiran Barbados, Rihanna menghadiri acara itu, yang bertepatan dengan ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara itu.

Dalam ucapannya, Putera Charles mengakui 'kekejaman perhambaan mengerikan' yang dialami pulau Caribbean itu.

Era baharu Barbados menamatkan pengaruh Britain berabad lamanya, termasuk lebih 200 tahun apabila pulau itu menjadi hab perdagangan hamba transatlantik.

Bagi menandakan peralihan kuasa rasmi, penghormatan terakhir dibuat kepada monarki British dan bendera diraja diturunkan.

Bercakap sebagai tetamu kehormat pada majlis itu, Putera Charles mengulangi hubungan berterusan antara kedua-dua negara akan terus terjalin walaupun status perlembagaan berubah.

Beliau menyifatkan detik itu sebagai permulaan baharu.

Pada majlis itu, Putera Charles menerima darjah kebesaran Order of Freedom of Barbados .

Mason, 72, adalah gabenor jeneral pulau itu sejak 2018, dilantik sebagai presiden hasil undian di Parlimen bulan lepas.

Beliau kini menggantikan Ratu Elizabeth II sebagai ketua negara Barbados.

"Republik Barbados sudah memulakan 'pelayaran' sulungnya," katanya selepas mengangkat sumpah.

Barbados mengumumkan rancangannya untuk menjadi sebuah republik tahun lalu, tetapi ia akan kekal sebagai negara dalam Komanwel.

Ketika ini ada 15 negara dalam Komanwel yang masih mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Ketua Negara, termasuk United Kingdom.

Selain itu, Australia, Kanada, New Zealand, Antigua dan Barbuda, Bahamas, Belize, Grenada, Jamaica, Papua New Guinea, Saint Lucia, Kepulauan Solomon, St Kitts dan Nevis, serta St Vincent dan the Grenadines. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 6:40 AM