RATU Elizabeth II. FOTO AFP
RATU Elizabeth II. FOTO AFP
AFP

London: Ratu Elizabeth II yang dilaporkan gering sejak beberapa bulan lalu membuat penampilan sulungnya di khalayak pada Selasa ketika menghadiri upacara memperingati mendiang suaminya, Putera Philip, yang mangkat tahun lalu pada usia 99 tahun.

Permaisuri berusia 96 tahun pada bulan depan itu tidak menghadiri acara berprofil tinggi di luar kediamannya sejak menerima rawatan di hospital, Oktober lalu.

Tidak sihat, termasuk serangan Covid-19, dan kesukaran berjalan dan berdiri memaksanya menarik diri daripada majlis Hari Komanwel, pada saat-saat akhir, pada 14 Mac.

Istana Buckingham hanya mengesahkan kehadirannya di upacara memperingati Putera Philip, kira-kira dua jam sebelum ia dijadualkan bermula di Westminster Abbey, di tengah bandar ini.

Tidak seperti ahli keluarga dan tetamu yang lain, Ratu Elizabeth II tiba di pintu masuk sebelah dan menggunakan tongkat sambil dibantu oleh anak keduanya, Putera Andrew, 62, untuk ke tempat duduknya.

Ia adalah penampilan sulung Andrew di khalayak sejak menyelesaikan tuntutan sivil Amerika Syarikat (AS) untuk serangan seksual, dan selepas kemarahan orang ramai terhadap persahabatannya dengan pesalah seks yang disabitkan Jeffrey Epstein.

Andrew mengambil tempat duduk di barisan hadapan bersama adik lelakinya, Putera Edward, manakala abangnya, Putera Charles, kakak Puteri Anne, dan permaisuri duduk bertentangan.

Duke of Edinburgh, Putera Philip hidup bersama Ratu Elizabeth ll selama 73 tahun sebelum meninggal dunia pada 9 April tahun lalu, hanya beberapa minggu sebelum hari lahirnya yang ke-100, selepas menerima rawatan untuk penyakit jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 11:17 AM