TOKONG Guanyinge berusia 700 tahun yang dibina di atas batu di tengah Sungai Yangtze dinaiki air. Foto AFP
TOKONG Guanyinge berusia 700 tahun yang dibina di atas batu di tengah Sungai Yangtze dinaiki air. Foto AFP
AFP

Beijing: Kira-kira 23.86 juta penduduk China terjejas akibat banjir membabitkan 24 wilayah sejak awal Julai.

Kementerian Pengurusan Kecemasan (MEM), semalam berkata banjir di kawasan Anhui, Jiangxi, Hubei dan Hunan itu meragut 31 nyawa, selain memaksa perpindahan 2.04 juta penduduk.

Kira-kira 151,000 kediaman turut rosak, sekali gus mengakibatkan kerugian berjumlah 64.39 bilion yuan (RM39.1 bilion).

MEM berkata, jumlah mangsa yang maut atau hilang akibat banjir adalah 82 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama lima tahun lalu dengan anggaran kerugian turut berkurangan 5.9 peratus.

Sejak Jun, hujan lebat berterusan menyebabkan sebahagian besar selatan China dilanda banjir manakala paras air di beberapa sungai utama mula melepasi aras bahaya.

Tasik Chaohu, tasik air tawar kelima terbesar China di wilayah Anhui, timur China dilaporkan mengalami kenaikan paras air yang memecah rekod semalam susulan hujan lebat.

Paras air di stesen hidrologi Zhongmiao dan Tangxi di Tasik Chaohu masing-masing mencecah 12.82 serta 12.77 meter pada jam 11 pagi semalam, kedua-duanya lebih tinggi berbanding rekod terdahulu yang dicatat pada Julai 1991.

Sabtu lalu, pihak berkuasa mula mengubah haluan air ke kawasan sokongan banjir yang mampu menampung kapasiti 230 juta meter padu, bagi mengurangkan tekanan air di Tasik Chaohu.

Pada pagi semalam, pihak berkuasa menghalang aliran sebatang sungai dari memasuki tasik berkenaan, dan berterusan mengepam air ke dalam Sungai Yangtze.

Secara keseluruhan, sejumlah 35 sungai dan tasik di wilayah termasuk Sungai Yangtze dan Sungai Huaihe River, menyaksikan paras air meningkat melebihi tahap berbahaya.

Bagaimanapun, banjir kali kedua di Sungai Yangtze kali ini mengalir lancar melepasi Empangan Three Gorges yang menyaksikan aliran masuk berkurangan.

Empangan Three Gorges menerima aliran 46,000 meter padu air sesaat semalam berbanding 61,000 meter padu sesaat selama 18 jam kelmarin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 2:57 PM