Seorang wanita berjalan di sungai Yangtze yang kering di Chongqing, China. - FOTO Reuters
Seorang wanita berjalan di sungai Yangtze yang kering di Chongqing, China. - FOTO Reuters
Reuters

Shanghai: China menggerakkan tindakan kecemasan dengan meningkatkan tahap paras air di lembangan Sungai Yangtze yang kini dilanda kemarau apabila cuaca dilaporkan meningkat kepada 44 darjah Celsius di beberapa wilayah.

Menurut Kementerian Sumber Air, langkah itu dibuat menggunakan dana bantuan, pembenihan awan dan membangunkan sumber bekalan baharu berikutan gelombang haba paling tinggi sehingga memusnahkan tanaman dan ternakan.

Katanya, kemarau di seluruh lembangan Sungai Yangtze menjejaskan keselamatan air minuman penduduk di luar bandar dan ternakan, selain pertumbuhan tanaman.

"Setiap wilayah digesa membuat penilaian tepat mengenai kawasan terjejas akibat kemarau dan merangka pelan untuk mengekalkan bekalan air, termasuk pemindahan air sementara, pembangunan sumber baharu dan penyambungan rangkaian paip.

"Untuk meningkatkan bekalan hiliran, Empangan Three Gorges iaitu projek jana kuasa hidro terbesar China, akan turut meningkatkan pelepasan air sebanyak 500 juta meter padu dalam tempoh 10 hari akan datang," katanya.

Sebanyak 262 stesen cuaca merekodkan suhu 40 darjah Celsius dan ke atas, sekali gus mencatatkan kadar tertinggi pernah dicapai manakala lapan stesen cuaca pula mencecah 44 darjah Celsius.

Sementara itu, Kementerian Kewangan akan menyumbangkan AS$44.3 juta (RM197 juta) sebagai bantuan bencana selain memindahkan ternakan dari kawasan yang dilanda kemarau ke wilayah lain.

Hari ini, wilayah Hubei di tengah China mengumumkan program pengubahsuaian cuaca yang meluas dengan melaksanakan pembenihan awan bagi mendorong berlakunya hujan.

Wilayah lain di Yangtze juga melancarkan program pembenihan awan, namun disebabkan lapisan awan yang terlalu nipis, operasi di beberapa bahagian yang dilanda kemarau di lembangan Yangtze terus berada dalam keadaan bersiap siaga.

Menurut media kerajaan dengan memetik data dari Pusat Iklim Negara, gelombang haba China kini berlarutan selama 64 hari, menjadikannya yang paling lama sejak rekod mula disimpan pada 1961.

Menurutnya, suhu tinggi yang berterusan dijangka berpanjangan di Lembangan Sichuan dan sebahagian besar tengah China sehingga 26 Ogos ini.

Penyelidik iklim di Institut Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Australia (CSIRO), Cai Wenju berkata, punca haba melampau mungkin disebabkan tekanan tinggi luar biasa dari kawasan subtropika Pasifik Barat merentasi sebahagian besar Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 5:06 PM