Temerloh: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan kejadian banjir besar di Kelantan berpunca daripada Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu atau Kenyir 2 seperti tersebar di media sosial ketika ini.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek hidroelektrik itu di daerah Hulu Terengganu di kawasan Hutan Simpan Tembat di hilir Tasik Kenyir membabitkan pembinaan dua empangan merentasi Sungai Terengganu (Empangan Puah) dan Sungai Tembat (Empangan Tembat) yang mengalir ke Tasik Kenyir.

Katanya, kawasan tadahan untuk projek itu berada dalam Terengganu dan dipisahkan dari Kelantan oleh banjaran gunung.

“Jadi, semua aliran air permukaan mengalir ke arah kedua-dua sungai terbabit yang akhirnya menjadi Tasik Puah dan Tasik Tembat apabila projek ini siap.

“Air dari tasik akan disalurkan melalui terowong lencongan air ke Tasik Puah bagi penjanaan di Stesen Permukaan Tembat dengan kapasiti 15 megawatt (MW) sebelum memasuki Tasik Puah.

“Air dari Tasik Puah pula disalurkan ke Stesen Bawah Tanah Puah (250MW) yang melalui terowong aliran keluar ke Tasik Kenyir.

“Projek ini dilaksanakan oleh TNB bukan hanya untuk tujuan penjanaan kuasa elektrik tetapi juga penebatan banjir. Proses penakungan Tasik Puah membantu mengurangkan kesan kemasukan air ke Tasik Kenyir.

“Sehingga Rabu lalu, 740,000 juta meter padu air ditahan di empangan berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada anggota TNB yang menjadi mangsa banjir di daerah ini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 6:15 AM